SUARA SEORANG SENIMAN DI USIA CEDERA
 

65 memang usia cedera
keperluan tidak lagi seputar diri
dia mula mengingat buana lain
seputar anak-anak, kebahagian mereka.

dia yakin
ahli keluarganya
banyak menentukan
kecewa dan nikmat diri
kesenimanannya.

meski dia sedar
kepincangan dan kebobrokan
kekejaman dan penindasan
dalam masyarakatnya
dia tidak mahu menyukarkan
zuriatnya.

lalu dia katakan
penyelongkaran dunia luar diri
hanyalah kulitan
dia ingin menyelongkar
diri sendiri.

dan dia pun berenang
tanpa gelora ombak samudera.

ZIZIE ALI @ DOLLAH
4.4.2000

MENCAMPAK MALU

dia yang pernah mengetuk kamar
dan kebetulan aku juga sedang kesunyian
meski malam tanpa bulan temaram
kami pun bercanda tanpa cinta
membungkus luka yang masih terbuka
dan kini bila sepi berkunjung lagi
yang ku kenang hanyalah kedhaifan diri sendiri
yang mencampak malu di hujung kaki
tatkala hangat ghairah menjalar urat nadi.

ZIZIE ALI
16 JULAI 2000
 
 

Ke Penyair Malaysia