Pendita Za'ba


              Za'ba (Tan Sri, 1895-1973) ialah tokoh bahasa dan pemikir Melayu. Nama sebenarnya ialah Zainal Abidin bin
              Ahmad. Dia lahir pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Jempol, batu Kikir, Negeri Sembilan.
              Ibunya Intan Awaluddin berketurunan Minangkabau. Ayahnya yang berketurunan Bugis Linggi merupakan
              orang yang berharta, berpengetahuan agama, dan satu-satunya penduduk di kampung itu yang tahu membaca
              dan menulis Jawi.

              Pendidikan awal Za'ba bermula di rumahnya sendiri, termasuk pelajaran asas agama dan tulis-menulis (Jawi).
              Pada bulan Julai 1907, Za'ba belajar di Sekolah Melayu di Batu Kikir dan kemudiannya dia bersekolah di
              Linggi. Di samping meneruskan pendidikan sekolah Melayu pada waktu pagi, Za'ba belajar agama dan nahu
              bahasa Arab di Masjid Linggi pada waktu petang daripada Abas bin Zakaria, ulama terkenal di Negeri
              Sembilan. Za'ba muncul sebagai pelajar sekolah Melayu terbaik dalam peperiksaan Darjah Lima, semasa di
              Linggi.

              Za'ba juga menduduki peperiksaan untuk menjadi guru atau untuk memasuki sekolah Inggeris seperti Maktab
              Melayu Kuala Kangsar, dan sekolah Inggeris di Seremban. Dia muncul sebagai pelajar terbaik daripada 265
              orang calon. Pada mulanya Za'ba memilih untuk menjadi guru, tetapi akhirnya dia memilih memasuki sekolah
              Inggeris, iaitu St. Paul's Institution, Seremban. Di sini dia belajar selama enam tahun (1910-1915), sehingga
              memperoleh sijil Senior Cambridge. Dia banyak menerima hadiah kerana kecemerlangan pencapaiannya, dan
              akhirnya muncul sebagai anak Melayu Negeri Sembilan yang pertama berjaya dalam peperiksaan tersebut.

              Za'ba ditawarkan bekerja sebagai guru sementara di sekolahnya, dan selepas itu dia memasuki perkhidmatan
              perguruan di English College, Johor Bharu (Jun 1916-September 1918). Dia pernah menjadi guru di Maktab
              Melayu Kuala Kangsar (Oktober 1918-April 1923), dan pada peringkat inilah Za'ba lulus peperiksaan ikhtisas
              perguruan (Normal Class, pada tahun 1921); penterjemah di Pejabat Pengarah Sekolah-Sekolah Negeri-Negeri
              Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Kuala Lumpur (Mei 1923-Mac 1924), dan Maktab Perguruan
              Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim (April 1924-September 1939). Kemudian dan menjadi penterjemah dan
              juruhebah di Pejabat Penerangan Singapura serta menjadi penyelenggara buku pendidikan Melayu di Jabatan
              Pelajaran Singapura (Oktober 1939-Januari 1941).

              Semasa pendudukan Jepun du Tanah Melayu, Za'ba berkhidmat sebagai ketua pengarang dan penterjemah
              berita Radio Jepun, serta menyelenggarakan penerbitan buku bagi jabatan Pelajaran dan Agama, Bunkyo-ka
              (Mac 1942-Julai 1945). Selepas perang dunia kedua tamat, Za'ba bertugas sebagai penterjemah di Mahkamah
              Tinggi dalam Pentadbiran Tentera British di Kuala Lumpur (September 1945-Julai 1946); kemudian kembali ke
              jawatan lamanya sebagai penterjemah kanan bahasa Melayu dan pengarang buku teks di Pejabat pelajaran,
              Kuala Lumpur (Ogos 1946-Ogos 1947); pensyarah Bahasa Melayu di School of Oriental and African Studies
              (SOAS), Universiti London (September 1947-hingga bersara pada September 1950). Pada tahun 1953, Za'ba
              menjadi pensyarah kanan merangkap Ketua Jabatan Pengajian Melayu yang pertama di Universiti Malaya,
              Singapura (April 1953-Januari 1959). Semasa di University of London, Za'ba memperoleh Sarjana Muda
              Sastera (1953).

              Za'ba muncul sebagai cendekiawan Melayu yang dihormati sejak tahun 1920-an lagi. Sepanjang kerjayanya
              selama hampir 40 tahun, Za'ba bergiat secara aktif dalam bidang penulisan dan berbagai-bagai kegiatan sosial
              serta politik tanah air. Za'ba merupakan penulis rencana dan esei yang berbakat istimewa dan gigih, sama ada
              dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Penulisannya yang begitu prolifik mencakupi bidang bahasa,
              sastera, agama, pendidikan, ekonomi dan politik.

              Kegiatan penulisannya sentiasa dibendung oleh kerajaan kolonial British, terutama sepanjang dia berada di
              MPSI. Walau bagaimanapun, dia tetap aktif dan banyak tenaganya ditumpukan ke arah penerbitan buku
              sekolah dan buku bacaan umum di Biro Penterjemahan (pejabat Karang Mengarang) MPSI, selain memberi
              perhatian yang khusus dan lebih serius kepada usaha untuk memajukan bahasa Melayu. Beberapa buah buku
              penting tentang tatabahasa telah dihasilkannya yang digunakan di maktab dan institusi pengajian pada masa itu,
              bagi mengisi kekosongan yang wujud. Antara karyanya ialah Ilmu Bahasa Melayu (1926), Rahsia Ejaan
              Jawi (1929), Pelita Mengarang, Ilmu Mengarang Melayu (1934), Daftar Ejaan Melayu: Jawi-Rumi
              (1938), dan tiga jilid dalam siri Pelita bahasa Melayu (1940, 1946 dan 1949).

              Dia juga terlibat secara aktif dalam gerakan pembaharuan Islam dan menghasilkan beberapa buku tentang
              agama Islam. Antaranya ialah Falsafah Takdir (1932), Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian
              Perbuatan dan Perusahaan Hamba (1934), dan Asuhan Budi Menerusi Islam (1958). Buku kedua Za'ba itu
              telah diharamkan pengedarannya di negeri Perak oleh pihak berkuasa pada zaman tersebut.

              Setelah Perang Dunia Kedua tamat, Za'ba bergiat aktif dalam pertubuhan politik tanah air. Dia menjadi Yang
              Dipertua Persatuan Melayu Selangor (PMS) menggantikan Tengku Ismail. Dia dilantik sebagai Pengerusi
              Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Malaya yang berlangsung dari 1 hingga 4 Mac 1946, yang
              kemudian melahirkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Pada tahun 1956, Za'ba mengetuai
              satu lagi kongres yang penting bagi bangsa Melayu. Kali ini ialah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu
              ketiga, dan pada akhir kongres ini Za'ba dianugerahi gelaran "Pendeta". Ini dilakukan kerana mengenang
              jasanya yang tidak terhingga dalam bidang bahasa. Walaupun penglibatannya dalam bidang-bidang lain tidak
              boleh diperkecil, tetapi sumbangan dan tulisannya dalam bidang bahasa yang paling menonjol. Dalam
              pendahuluan Pelita Bahasa Melayu Penggal I misalnya, dia mencatatkan kegigihannya menerapkan nahu Arab
              dan Inggeris kepada bahasa Melayu. Dengan itu dia menjadi sarjana Melayu yang pertama menghasilkan
              huraian tatabahasa Melayu yang lengkap dan mendalam.

              Atas segala khidmatnya Za'ba telah diberikan beberapa anugerah dan ijazah kehormat, iaitu Ijazah Kehormat
              Doktor Persuratan oleh Universiti Malaya (1959), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti
              Kebangsaan Malaysia (1973), dan darjah Panglima Mangku Negara (P.M.N.) oleh Yang di-Pertuan Agong
              yang membawa gelaran Tan Sri (1962).

              Za'ba meninggal dunia pada 23 Oktober 1973 di Petaling Jaya.

              Sumber: Ensiklopedia sejarah dan Kebudayaan Melayu: Jilid 4, R-Z, 1999. Kuala Lumpur: Dewan
              Bahasa dan Pustaka, h. 2611-2612.

              BIBLIOGRAFI
              Baharudin Zainal et. al. (peny.), 1981. Wajah (Biografi 100 Penulis). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
              Pustaka, h. 436-441.

              Wajah (439) Za'ba dikenali sebagai seorang yang tegas. Beliau sedia menerima kebenaran serta mengakui
              kesilapannya. Hal ini dapat dilihat dari kata-katanya berhubung dengan kemasukan bahasa Indonesia, "Saya
              dulu menentang kemasukan bahasa Indonesia ke dalam bahasa Melayu, tetapi sekarang saya kalah. Saya
              sendiri telah menggunakan bahasa Indonesia itu. Kalau ada yang bertanya mengapa kita ikut menggunakan
              perkataan 'organisasi' atau 'demonstrasi' tidak organisation atau demonstration saya akan menjawabnya, itu
              adalah bahasa Indonesia bukan bahasa Belanda kerana kita mengambilnya dari bahasa Indonesia." h. 439.
              Karyanya, rujuk Wajah, h. 440.

              Petikan
              PELITA BAHASA MELAYU
              Pelita Bahasa Melayu Penggal 1 (Permulaan Nahu Melayu), terkarang oleh Zainal-'Abidin bin Ahmad.
              Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, cetakan yang kelima, 1965. Buku ini ialah
              siri-buku-buku sekolah DBP bilangan ke-20.

              PENDAHULUAN (Bagi Chetak Yang Ketiga)
              (Huruf e tanda tidak dapat ditunjukkan dalam mod teks ini.)

              Ini-lah chetak yang ketiga kitab ini, di-keluarkan dengan huruf Rumi pula, kerana mensesuaikan dengan
              kehendak-kehendak tuntutan zaman. Bagi sementara ini nyata dengan terang-nya bahawa tulisan Rumi lebeh
              di-gemari dan di-biasakan oleh pehak yang muda-muda, dan kitab ini bagi mereka itu-lah terutama-nya
              di-maksudkan.

              Segala 'alamat yang kelihatan ada-lah menunjukkan bahawa walau apa pun di-kata oleh pehak tua-tua yang
              tiada menggemari tulisan Melayu Rumi, tetapi tulisan Rumi itu tetap akan terus maju juga, keran ia lebih
              kemudian pada segala hal taip-menaip dan chap-mengechap, dan kerana ia huruf kemajuan dunia zaman ini
              ia-itu menjadikan ia mustahak di-pakai dalam segala perhubungan yang lebeh luas dan le jauh. Oleh yang
              demikian haruslah nampak-nya dalam masa yang tidak lama lagi tulisan Melayu Rumi akan tetap ka-tengah
              terpakai di-antara penulis-penulis Melayu yang berpelajaran cara baru sekarang, dan tulisan Jawi akan ka-tepi
              tertinggal di-cherok-cherok desa sahaja di-antara puak-puak yang hanya berfaham dan berpelajaran chara lama
              pada serba -serbi-nya. Dalam pada itu wajib-lah di-ingat bahawa walau apa pun kulit-nya, yang isi-nya sama
              juga ia-itu bahasa Melayu: jika bahasa Melayu yang baik tetap-lah baik juga walau pun kulit-nya Rumi atau
              Jawi, tetapi jikalau bahasa Melayu-nya kochar-kachir-ke'araban, keinggerisan, dan sa-bagai-nya-maka tidak-lah
              boleh jadi baik hanya dengan sebab kulit-nya di-rupakan dengan tulisan Jawi atau tulisan Rumi pun.
 

           Ke Ensaiklopedia Sastera