RUMAH TERCANTIKHasil Karya: Bung Djohar
Sufi itu berjalan-jalan di sekitar bandar. Dia berusaha untuk mencari seorang pemuda yang muncul dalam mimpinya beberapa malam yang lalu. Di dalam mimpinya itu, dia menemui sebuah taman besar yang indah menghijau. Di taman itu disuburi pelbagai buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan beraneka rupa yang baunya tersangat harum. Dekat dengan beberapa batang sungai yang mengalirkan air madu, air susu dan air anggur, terdiri pula sebuah rumah seakan-akan istana yang tercantik di seluruh alam dan belum pernah dilihatnya rumah seumpama itu di dunia. Di seluruh ruang rumah itu sibuk dengan para pelayannya yang cantik rupawan.
Dengan perasaan yang ghairah dan kagum, maka bertanyalah sufi itu kepada salah seorang pelayan itu, siapakah gerangan yang memiliki rumah yang tercantik itu?
"Rumah ini dipersiapkan untuk seorang pemuda sekiranya pemuda tersebut sudi mendapatkannya dengan tawaran amalan soleh," jelas pelayan itu. "Tetapi kami belum dapat menemui pemuda itu kerana dia berada di sebuah bandar yang jauh," sambung lagi pelayan itu. Tiba-tiba ternampaklah sufi itu akan bayangan wajah pemuda yang dimaksudkan itu.
Sufi itu dapat memahami akan hikmat mimpinya itu melalui petunjuk daripada Allah. Dia ingin sangat menemui pemuda di dalam mimpinya itu. Justru itulah dia keluar dari kampungnya menuju ke bandar. Kira-kira jauhnya perjalanan ke bandar itu selama dua hari.
Bandar itu sibuk dengan manusia dan kenderaan lalu lintas. Bangunan-bangunannya pesat membangun. Terasa sesak dan menghempit. Dia meneruskan perjalanan. Dia mengamati setiap wajah manusia yang dilewatinya. Namun tidak seorang pun yang menyamai wajah pemuda di dalam mimpinya itu. Puas dia mencari.
Oleh kerana usahanya belum jua berjaya, sufi itu membuat keputusan untuk tinggal di masjid. Di masjid itu dia berserah dan berdoa kepada Allah diberikan petunjuk agar dapat menemui pemuda yang sedang dicarinya itu.
Selang beberapa malam, ketika sufi itu mengisi masa malamnya dengan beribadah kepada Allah, terdengar olehnya suara nyanyian beramai-ramai diiringi dengan muzik dari kejauhan, seolah-olah sedang berlangsungnya sebuah temasya hiburan.
Sufi itu agak hairan dan arah matanya meninjau-ninjau sekeliling masjid itu. Dari manakah datangnya suara nyanyian dan muzik itu? Fikirnya. Oleh kerana sudah jauh tengah malam dan dia tidak biasa dengan jalan-jalan di bandar itu, dia memutuskan saja untuk bertanya kepada orang pada siang harinya.
"Sejak beberapa malam ini, saya sering terdengar suara nyanyian beramai-ramai diiringi musik. Tetapi saya tidak tahu dari manakah arahnya dan saya tidak berupaya keluar mencarinya kerana waktu sudah jauh malam. Apakah tuan tahu mengenai hal yang demikian?" ujar sufi itu kepada imam masjid itu selepas menunaikan solat subuh.
Imam tua itu terkejut seketika, tetapi kemudiannya tersenyum. "Oh!...." pintas Imam itu. "Kalau tuan ingin tahu, suara nyanyian dan muzik itu datangnya dari sebuah rumah yang tercantik di dunia ini. Rumah itu adalah milik dan ciptaan seorang arkitek muda. Hampir setiap malam, di rumah itu diadakan sebuah temasya hiburan yang diiringi dengan nyanyian, muzik dan pembacaan puisi oleh gadis-gadis jelita dan pria yang khayal dengan minuman arak!"
Sufi itu terdiam sejenak. Muram wajahnya. "Apakah boleh saya ke sana?" tanya sufi itu dengan tiba-tiba.
Imam tua itu menggeleng-gelengkan kepalanya. "Sukar sekali! Rumah itu dikawal rapi oleh para pengawalnya yang gagah. Tuan hanya boleh mengunjungi rumah itu pada hari Sabtu petang. Sebab pada setiap minggu hari tersebut diadakan majlis kunjungan terbuka di rumah itu. Arkitek muda itu biasanya akan meminta pandangan tetamu tentang kecantikan rumahnya itu," ujar imam tua itu.
Sufi itu mengangguk-anggukkan kepalanya. "Baiklah, terima kasih," kata sufi itu kepada tuan imam.
Pada hari Sabtu petang itu, selepas solat Asar di masjid, sufi itu pun pergilah mencari rumah yang dikatakan yang tercantik di dunia ini. Setelah menanyakan orang akan jalan dan arahnya, sufi itu pun sampai di rumah yang ditujunya itu.
Kelihatan para pengunjung begitu ramai sekali. Mereka kebanyakannya terdiri daripada pelbagai golongan ahli seni. Mereka amat kagum dan pesona melihatkan rumah yang tercantik itu yang tiada bandingannya di dunia ini. Dan kalau ditaksirkan harganya, inilah juga rumah yang termahal di dunia yang terbuat daripada bahan-bahan paling bermutu. Segala binaan, ukiran, rekaan dan hiasannya mengandungi nilai-nilai citarasa seni yang terlalu tinggi yang dihasilkan daripada inspirasi pemiliknya.
Semua pengunjung memuji-muji akan kecantikan rumah itu yang pada mereka tidak nampak sedikit pun cacat-celanya. Di tengah pekarangan rumah itu, kelihatan arkitek muda itu dikerumuni orang ramai yang ingin tahu bagaimana dia boleh mencipta rumah yang sedemikian rupa.
"Saya percaya tuan-puan belum pernah menyaksikan rumah yang tercantik ini. Inilah rumah yang tercantik di dunia yang tidak ada sedikit pun cacat-celanya. Jika tuan-puan ada sebarang komen, tampillah kepada saya!" kata arkitek muda itu dengan perasaan bangga.
Kata-kata pemuda itu tadi tiba-tiba menarik perhatian sufi itu yang sedang berlegar-legar di pekarangan rumah itu. Sebenarnya di hati sufi itu sedikit pun tidak tertarik akan kecantikan rumah itu. Baginya rumah itu sama juga dengan benda-benda lain di dunia ini yang tercipta daripada tanah. Bagaimanalah dapat dikatakan ianya cantik, jika hakikatnya tanah? Ulat dan najis pun asalnya daripada tanah!
Sufi itu cuba mendekati arkitek muda yang sedang dikerumuni orang ramai itu. Dia mengamati wajah pemuda itu dengan renungan yang tajam! Alangkah terkejutnya sufi itu. Wajah arkitek muda itu mempunyai persamaan dengan pemuda di dalam mimpinya kelmarin. Sah! Itulah pemuda yang sedang dicari-carinya!
Dengan langkah perlahan, dia tampil ke depan dan bersemuka dengan arkitek muda itu. "Maafkan saya, tuan! Saya ada komen yang ingin saya katakan," pintas sufi itu.
Arkitek muda itu terkejut. Berubah air mukanya seraya matanya tajam merenungi wajah sufi itu. "Apa komen awak wahai orang tua?" tanya arkitek muda itu. Dahinya nampak berkerut.
"Begini komen saya," kata sufi itu dengan nada suaranya yang tenang. "Saya nampak rumah ini masih ada banyak cacat-celanya. Tidak benar tuan katakan inilah rumah yang tercantik di dunia. Saya pernah lihat ada rumah yang lebih cantik daripada rumah tuan ini. Rumah yang saya maksudkan itu sungguh tiada cacat-celanya. Rumah itu mempunyai taman besar yang menumbuhkan pelbagai tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan yang tersangat harum. Di taman itu juga terdapat beberapa batang sungai yang mengalirkan air madu, air susu dan air anggur. Oh! Di rumah itu sungguh ramai pelayan gadisnya yang cantik rupawan!"
Suasana menjadi riuh-rendah. Arkitek muda itu tambah terkejut. Merah padam wajahnya. Hatinya terguris dan tersinggung. Dirasakan selaran sufi itu bagai hendak memalukan airmukanya. Dengan pantas arkitek muda itu cuba mententeramkan perasaan orang ramai yang mulai gusar.
"Bertenang tuan-puan!...." kata arkitek muda itu dengan menonjolkan senyumannya dan mengangkat dua belah tapak tangannya menyuruh orang ramai bertenang. "Saya kira apa yang dikatakan orang tua ini adalah satu persendaan daripada perasaan cemburunya. Mustahil apa yang dikatakannya itu benar. Tuan-puan sudah maklum, rumah sayalah yang paling tercantik di dunia ini! Kerana telah mendapat penilaian dan pengakuan oleh pakar-pakar seni bina agung yang dicatatkan di dalam rekod dunia!" sambung arkitek muda itu dengan nada suaranya yang tegas dan tinggi.
Orang ramai mengiyakan kata-kata arkitek muda itu.
"Tuan, saya bukan cemburu. Percakapan saya tadi sungguh nyata dan benar," sufi itu menyelah.
Dengan perasaan tidak senang hati, arkitek muda itu menuding benci kepada sufi itu. Inilah pertama kali ada orang yang cuba membuat komen yang tidak mengem-birakan tentang rumahnya itu. Selama ini dia hanya menerima puji-pujian yang melambung tinggi.
"Baiklah. Kalau benar, apa buktinya?" tanya arkitek muda itu dengan lagak yang sombong. Baginya amat mustahil rumahnya yang tercantik itu ada cacat-celanyanya.
"Kecacatan besar pada rumah tuan ini kerana ianya dibina tidak dengan asas yang kukuh. Tidak kekal. Ianya akan binasa pada satu masa nanti kerana ianya tercipta daripada tanah. Bukankah tiap-tiap benda yang tercipta daripada tanah itu akan kembali jua ke tanah?"
Arkitek muda itu tercengang. Orang ramai pun turut tercengang-cengang mendengar hujah sufi itu.
"Apa lagi cacat-celanya?" tanya arkitek muda itu . Jantungnya berdebar-debar. Apa yang dijelaskan oleh sufi itu terasa benar pula di hatinya. Dia mula sedar suatu kekurangan besar pada rumahnya itu yang tidak pernah dikomenkan oleh pakar-pakar seni bina agung di seluruh dunia.
"Kecantikan pada rumah ini bukanlah kecantikan yang tulen. Ianya dikatakan cantik kerana hanya dipandang oleh mata kasar tuan. Sedangkan pada hakikatnya adalah tanah. Apalah cantiknya? Sedangkan ulat dan najis pun tercipta daripada tanah. Lama-kelamaan, rumah ini akan nampak usang dan hodoh serta banyak kerosakannya!"
"Dan...... dan apa lagi cacat celanya?" tanya arkitek muda itu dengan tidak sabar. Tubuhnya gementar. Di wajahnya nampak rasa kebimbangan dan cemas. Manakala orang ramai masih khusyuk menantikan untuk mendengar lagi hujah sufi itu.
"Sebelum rumah ini binasa pada suatu hari nanti, ianya akan berpindah dari satu pemilik ke satu pemilik yang lain. Ini menunjukkan rumah ini hanya tempat tumpangan yang sementara, bagaikan sebatang pohon teduh tempat menambat unta pada padang pasir yang luas."
Arkitek muda itu menundukkan kepalanya. Degupan jantungnya semakin kencang. Wajahnya pucat sekali. Dia mengeluh......
"Tidak mustahil suatu hari nanti; setiap orang yang memuji dan menyanjung rumah ini akan mengeji dan mengejeknya; dan setiap orang yang menjadi penghuninya akan tidak sudi tinggal di dalamnya lagi kerana dipandang jelek. Rumah tuan ini samalah dengan seorang perempuan yang dipuja semasa mudanya tetapi dipandang rendah semasa tuanya. Dan rumah ini akan menjadi seperti peremupan tua yang sepi menanti saat-saat terakhirnya!"
Arkitek muda itu tiba-tiba rebah ke tanah. Pengsan. Orang ramai jadi panik. Beberapa orang pengawal datang mengangkat pemuda itu dan membawanya masuk ke dalam rumah. Dalam suasana yang cemas itu, salah seorang pengawal mengusir sufi itu tadi kerana dipersalahkan. Arkitek muda itu menjadi pengsan disebabkan kata-kata sufi itu, tuduh pengawal itu.
Dengan rasa rendah hati, sufi itu mengundurkan diri dari rumah itu. Dia terus kembali ke masjid.
Semenjak peristiwa itu, arkitek muda itu tidak lagi mengadakan majlis kunjungan terbuka di rumahnya. Malah dari rumah yang dianggap orang yang tercantik di dunia ini tidak lagi kedengaran suara musik dan nyanyian pada malam hari. Jiran-jiran tetangga merasa hairan akan suasana perubahan itu. Dan ada antara mereka yang mengeluh kerana tidak nampak langsung kelibat wajah arkitek muda itu lagi.
Arkitek muda itu asyik mengurungkan dirinya di dalam rumah selepas dia sedar dari pengsannya tempoh hari. Dia menjauhkan dirinya dari masyarakat dan enggan bercakap dengan sesiapa.
Dia masih terkenang-kenangkan kata-kata sufi itu. Dia merasakan tidak betah lagi tinggal di rumahnya yang mewah itu. Fikirannya berkecamuk. Jiwanya gelisah entah mengapa.
Pada suatu petang, dia keluar dari rumahnya untuk menemui sufi itu kembali. Setelah dia mendapat tahu dari salah seorang di jalanan bahawa sufi itu berada di masjid, dia pun menuju ke masjid. Setelah dapat menemui sufi itu, dia memohon maaf akan perilakunya yang sombong terhadap sufi itu tempoh hari dan diusir oleh pengawal rumahnya. Sufi itu memaafkan saja apa yang telah berlaku.
“Kata tuan; tuan pernah lihat rumah yang lebih tercantik daripada rumah saya itu. Dan rumah yang tuan lihat itu tiada sebarang cacat-celanya. Apakah rumah yang tuan maksudkan itu sudah ada pemiliknya?"
Sufi itu tersenyum. Sufi itu pun menjelaskan segala-galanya dari kisah mimpinya sampailah dia mencari pemuda itu.
"Apakah rumah yang tuan katakan itu sebenarnya wujud?"
"Ianya sebenarnya wujud. Dan kewujudannya kekal kerana dicipta oleh kehendak Maha Pencipta. Percayalah, kenikmatan yang terdapat padanya tiada bandingan dengan ciptaan benda-benda di dunia yang fana ini. Tuan akan hidup kekal berbahagia bersama para pelayannya yang cantik rupawan."
"Bagaimana dapat saya memiliki rumah itu?" tanya arkitek muda itu dengan ghairah.
"Tuan mestilah mematuhi segala syarat-syaratnya!"
"Apakah syarat-syaratnya itu? Apakah syarat-syarat-
nya amat berat?" soal arkitek muda itu dengan resah.
"Tidak berat! Asalkan tuan rida kepada Allah dan sanggup bermujahadah di jalan-Nya. Mula-mula sekali tuan hendaklah bertaubat kepada Allah atas segala dosa-dosa tuan yang lalu. Lantas kawallah hawa nafsumu terhadap segala tarikan dunia ini dan jauhilah angkara maksiat. Kemudian tukarkanlah segala kemewahan yang tuan miliki di dunia ini dengan amalan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah. Hanya dengan tawaran amalan soleh sahaja tuan dapat memiliki rumah yang dimaksudkan itu."
Arkitek muda itu terdiam sejenak.
Sufi itu merenung wajah arkitek muda itu.
"Baiklah. Saya akan fikirkan perkara ini dahulu. Sekiranya saya sanggup, saya akan kembali menemui tuan di sini," kata arkitek muda itu lalu mohon beredar.
Setiap hari sufi itu menunggu kedatangan arkitek muda itu di masjid. Dia berdoa semoga Allah memberikan hidayah kepada arkitek muda itu. Beberapa hari kemudiannya, sufi itu terpegun apabila melihat kedatangan arkitek muda itu.
"Tuan, saya telah bersedia ingin menukarkan kemewahan hidup saya dengan amalan soleh. Saya harap tuan dapat membantu saya untuk mendapatkan rumah yang pernah tuan sebutkan itu," kata arkitek muda itu seraya menyerahkan sebuah beg yang berisi wang berjuta-juta dolar. Dia telah menjualkan rumahnya dan telah meninggalkan cara hidupnya yang lalu.
"Insya-Allah!" sambut sufi itu dengan rasa bersyukur kepada Allah sehingga berlinang airmatanya.
Sufi itu mencapai beg yang berisi wang berjuta-juta dolar itu. Kemudian dibahagi-bahagikannya kepada fakir miskin, sedekah jariah dan fisabilillah. Setiap hari sufi itu berdoa kepada Allah, semoga Allah menerima tawaran amalan soleh pemuda itu dan mengurniakan kepada pemuda itu rumah yang menjadi idaman pemuda itu. Dan pemuda itu kini menjalani kehidupannya dengan memperbanyakkan amalan soleh dan menjauhi amalan dunia yang tidak berfaedah.
Sufi itu pulang ke kampungnya setelah tercapai hajatnya itu. Suatu hari, entah mengapa dia asyik terkenang-kenangkan pemuda yang pernah ditemuinya itu. Seolah-olah dia didesak supaya menemui pemuda itu kembali. Dia pun membuat keputusan untuk pergi ke bandar.
Sesampainya dia di bandar dan mencari pemuda itu di masjid, alangkah terkejutnya dia ketika itu ramai jemaah sedang bersiap-siap hendak menunaikan solat jenazah. Sebaik saja ternampakkan tuan imam, sufi itu menghampiri tuan imam.
"Jenazah siapakah ini wahai tuan imam?" tanya sufi itu.
"Alhamdulillah! Tuan sempat sampai ke mari sebelum dikebumikan jenazah ini. Inilah jenazah arkitek muda!" sahut tuan imam.
"Innalillahi wainna ilaihi raajiuun!" sahut sufi itu.
"Saya ingin menyampaikan amanah arwah pemuda ini kepada tuan. Sebelum beliau meninggal dunia, dia telah berkirim salam kepada tuan. Dia mengucapkan terima kasih kepada tuan kerana telah mendoakan untuknya rumah yang menjadi idamannya itu. Selepas solat subuh tadi, ketika dia sedang di dalam keadaan nazak, dia sempat berbisik kepada saya bahawa dia ternampak ramai para bidadari di langit sedang berbaris menyambutnya. Dan dia ternampak rumah idamannya itu sedang menunggu-nunggu kedatangannya. Selepas mengucap dua kalimah syahadat dan dengan senyuman yang terakhir, dia pun pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Ketika itu nampak wajahnya penuh bercahaya dan berseri-seri," jelas tuan imam itu.
"Alhamdulillah!...." kata sufi itu dengan perasaannya yang penuh terharu dan linangan airmatanya tanda kesyukuran.
Selesai jenazah itu dikebumikan, sufi itu pun menuju pulang ke kampungnya. Tiba-tiba di tengah perjalanan di bandar itu, dia ditahan oleh seorang saudagar kaya.
"Tunggu sebentar! Apakah tuan ini ahli sufi yang terkenal itu yang telah mendoakan sebuah rumah yang tercantik buat seorang pemuda? Saya tahu doa tuan pastinya makbul. Nah! Bolehkah tuan mendoakan pula untuk saya sebuah rumah yang lebih besar dan indah daripada yang diterima pemuda itu. Saya akan memberikan upah yang besar kepada tuan. Dengan doa tuan itu saya tak perlu bersusah-payah membuat banyak amalan soleh di dunia ini. Kalau saya tinggalkan dunia ini nanti, rumah tercantik idaman saya itu telah pun tersedia!"
"Astaghfirullah!....." ucap sufi itu lalu segera meninggalkan saudagar kaya itu.
"Tuan!..... Tuan?????!!!!!!!......" teriak saudagar kaya itu.