Les Miserables
ANTARA CINTA, PRINSIP DAN REVOLUSI
oleh Hizairi Othman
BAGI pencinta sastera dan teater, Les Miserables bukanlah karya asing.
Malah mereka belum boleh menggelar diri orang seni andai
meninggalkannya. Les Miserables novel klasik-penting Victor Hugo,
penulis kebanggaan Parisian, dan patungnya ada diabadikan di Universiti
Sorbonne, Perancis. Teaternya pula bertahan bertahun-tahun di London,
malah sudah menyempurnakan pementasan di serata dunia.Kini di tangan pengarah Bille August, Les Miserables difilemkan
pula, dan bukan versi pertama kerana pernah difilemkan pada 1935, 1952
(versi Itali), 1952 (versi Amerika), 1957, 1978 dan 1995. Anda
barangkali sudah khatam novelnya, usai menonton teaternya, namun
menikmatinya sebagai filem masih pengalaman segar. Epik tentang cinta,
kejujuran dan pengkhianatan, dengan latar revolusi di Perancis pada
awal abad ke-19 ini terus memikat.Hugo mencipta novel ibni berasaskan 'dosa' seorang pemuda
lapar-miskin ketika Perancis gelora di ambang revolusi Julai 1832. Jean
Valjean (Liam Neeson) hanya mencuri roti dan dia penjarakan hampir 20
tahun. Dia lari, bersembunyi di gereja dan mencuri sudu perak di situ.
Paderi yang menolongnya sempat dipukulnya jatuh. Dan apabila polis
menghadapkannya semula pada paderi itu, dia sebaliknya diselamatkan.
Kata paderi itu lebih kurang, "Kau sudah lepas dari belenggu kejahatan.
Aku telah membeli jiwa kau untuk melihat kebaikan."Mukjizat apakah yang melintas, dia termangu terharu. Valjean
kemudiannya bekerja keras dan menjadi datuk bandar pemurah di pekan
kecil Vigau. Antara lain, dia menyelamatkan Fantine, bekas pekerjanya
yang terpaksa melacur untuk menyara anak perempuannya, Cosette yang
dijaga sebuah keluarga. Apabila dewasa, Cosette mencintai Marius,
pemimpin muda dalam revolusi yang sedang meruncing.Di sinilah klimaks hidup Valjean berlaku, walaupun awalnya dia
menyangkakan hidup tuanya akan berlalu aman. Dia masih diburu si polis
Javert (Geoffrey Rush) walaupun beberapa kali berjasa melepaskan Javert
dari maut. Masalahnya Valjean lelaki budiman, walaupun mempunyai masa
lampau hitam.Dan sifat pemaafnya pada Javert akhirnya berbayar. Dia dilepaskan
daripada dakwaan mahkamah, dan Javert membayar 'pertukaran' itu dengan
menbuang dirinya di Sungai Seine. Latarnya di gereja Notre Damme, sama
seperti ketika Valjean pernah dimaafkan di sebuah gereja seketika dulu.
Dan filem ini ditutup dengan Valjean berlari-lari anak, riang sambil
sesekali melihat langit. Dunia masih adil, Tuhan masih ada, dan
hidupnya bermakna kerana menjadi jujur.Inilah kecantikan prosa di mercu akal Hugo apabila cinta, perang,
nasionalisme dan isu prinsip disatukan dengan harmoni. Jika anda
mencari cinta, anda akan menemuinya menerusi teruna dara
Cosette-Marius, atau ibu-anak Fantine-Cossette. Jika anda meminati
perang, filem ini akan memberitahu anda tentang sebuah revolusi yang
sangat dibanggakan oleh warga Perancis - penubuhan republik yang
memakan banyak korban tetapi sangat bermakna daripada kaca mata mereka.Namun yang paling menarik ialah pertentangan antara Valjean dan
Javert, dua watak yang sangat ideal memperjuangkan prinsip
masing-masing. Valjean percaya cinta dan kemaafan akan melentur sudut
hitam manusia. Javert pula keras percaya, manusia perlu diajar
menghormati undang-undang dan dia sebagai pemegang autoriti akan
menegakkannya walau dengan apa cara.Watak-watak ini dibawakan dengan baik sekali oleh Liam Neeson dan
terutamanya Geoffrey Rush. Rush dikenali dengan Shine (1996) yang
memberinya Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Academy, kemudiannya turut
beraksi dalam Shakespeare In Love dan Elizabeth, filem-filem yang kuat
dalam Anugerah Academy baru-baru ini. Dalam Les Miserables, dia seolah
dihantar ke 'planet' lain, menjadi manusia lain, dan hasil akhirnya
ialah sebuah kebencian daripada penonton, tetapi kemudian membuat
penonton bersimpati semula padanya.Kata U-Weui Shaari, penonton kita terbahagi dua - satu yang suka
bermimpi dan satu lagi yang suka diberitahu tentang hidup. Kelompok
pertama sudah melambak. Menjadi tanggungjawab anda untuk meramaikan
kelompok kedua, dan menonton Les Miserables antara alternatifnya.
*Diulangsiar daripada majalah Massa (Bil. 184), 10-16 April 1999.
Tekan Untuk Kembali ke