Sastera vs Politik?oleh : Amir Muhammad
Saya rasa sastera yang mantap/sihat/berkesan tak seharusnya menjauhkan
diri dari isu-isu panas. Ini kerana isu-isu panas (termasuk tapi tak
terhad kepada politik) adalah sebahagian drp kerencaman kehidupan
masyarakat yang mesti dirakam atau ditafsir oleh sang sasterawan.Beberapa mahakarya dunia seperti GULLIVER'S TRAVELS (Swift), ANIMAL FARM
(Orwell) dan MIDNIGHT'S CHILDREN (Rushdie) dilahirkan terus dari
keinginan penulis untuk melontarkan komen tentang keadaan politik semasa
mereka. Buku-buku sedemikian tidak mungkin lahir jika penulis berkenaan
tak minat tentang politik. Ini tak termasuk beberapa pengarang dunia
seperti Soyinka, Havel, Vargas Llosa dan Ngugi, yang berperanan bukan
saja sebagai sasterawan tapi secara langsung sebagai aktivis/politikus.Memang ada penulis seperti Flaubert dan Nabokov yang berpendapat bahawa
isu politik terlalu "remeh" untuk dijadikan bahan sastera. Mereka anggap
bahawa sastera bukannya wadah untuk "melepaskan geram" atau
"mempromosikan agenda" tertentu sebaliknya peluang untuk merakam dengan
teliti butiran hidup, psikologi dan falsafah sejagat.Saya ambil jalan tengah. Kalau nak tulis tentang politik, silakan, tapi
tulislah dengan betul-betul. Komen Rustam A Sani di seminar "Karyawan
dan Isu Semasa" di DBP beberapa minggu lepas harus diberi perhatian.
Kata beliau, sang seniman hendaklah merakam/menulis tentang zamannya
dengan cara yang berseni, sesuai dengan peranannya, bukan sekadar
menyebarkan "labun kedai kopi" yang boleh diutarakan oleh sesiapa pun.
Kalau penggiat sastera sekadar nak sebarkan andaian longgar, bodek tak
kenal malu, fitnah bodoh, dan dalam ertikata lain 'main cakap ajer', apa
gunanya jadi penggiat sastera?
Tekan Untuk Kembali ke