jenazah

Faridah membiarkan jenazah itu dibawa masuk. Siap berbungkus kafan
putih yang sama sekali tidak pernah dipakai oleh lelaki itu. Keranda
sudah sedia yang walaupun kayunya adalah kayu jati dan ukirannya
bukan calang-calang tukang, tetapi ia adalah tetap sebuah keranda
untuk diisi dengan jenazah itu.

Air mata sudah lama kering. Hidup dengan lelaki itu sendiri sudah
banyak menagih air matanya, dan ternyata kematian lelaki itu masih
mahu menagih air matanya, walaupun dia tertanya-tanya juga untuk apa
ditangisi lagi. Sebak yang gelombangnya maha hebat malam tadi sudah
reda pada siangnya, yang dia pun tertanya-tanya untuk apa lagi sebak
itu kalau sudah sepanjang hidupnya, bukan sekali dua dia memendam
sebak di hati itu.

Seorang lelaki tua menagih-nagih simpati daripada hadirin supaya
tampil untuk menyempurnakan kewajiban yang masih berbaki untuk lelaki
itu, tetapi sayangnya yang sangguh menyahut simpati imam tua itu
hanyalah dua tiga kerat. Mereka yang ramai di atas rumah, bagaikan
berpakat-pakat semuanya turun ke bawah apabila melihat imam tua itu
naik ke atas.

Faridah membiarkan imam tua itu melunaskan tanggungjawab itu dengan
mengangkat takbir dan hanya diikuti oleh makmum yang boleh dibilang
jarinya. Faridah hanya mampu tunduk sambil menyapu-nyapu rambut anak
bongsunya yang nyata sekali masih belum mengerti akan nilai
kehilangan seseorang.

Sebagaimana laju air matanya berderai semalam apabila jenazah itu
dibawa pulang ke rumah, begitulah lajunya imam tua itu menyempurnakan
solat empat takbir tanpa rukuk dan sujud itu. Dia terasa seolah-olah,
solat itu usai tidak sampai seminit, tetapi jauh di sudut hatinya
terasa pula bersyukur kerana tanggungjawab itu terlunas sudah.

Setelah imam tua itu beserta makmumnya turun, maka Faridah mampir ke
depan untuk menyempurnakan solat jenazah. Barangkali, inilah antara
jasa-jasa terakhirnya buat lelaki yang hidup dengannya sepanjang satu
dekad itu. Barangkali inilah tazkirah terakhir buat lelaki itu,
setelah satu dekad itu dia berhempas-pulas mengingatkan lelaki itu
erti tanggungjawab sebagai hamba kepada Allah.

Solat Faridah lama sedikit berbanding solat imam tua itu, tetapi
hanya dua orang wanita yang turut serta. Faridah tidak lagi
memperdulikan ahli keluarga lelaki itu yang nyata sekali tidak terasa
terpanggil untuk menyempurnakan tanggungjawab tersebut. Faridah
mengerti hati budi dan fiil perangai ahli keluarga lelaki itu
sebagaimana dia mengerti hati budi dan fiil perangai arwah suaminya
itu.

Dan Faridah membiarkan jenazah lelaki itu dibawa pergi, sebagaimana
dia yakin pemergian itu bukanlah penamat kepada riwayat lelaki itu.
Dia benar-benar yakin pemergian itu hanyalah pembuka tirai slot baru
suaminya yang sebelum ini menghabiskan usia yang dipinjamkan dengan
wanita, wang dan arak.

Faridah menangis lagi apabila mengingatkan betapa lelaki itu tidak
membawa apa-apa bekal melainkan kafan yang pasti tidak kekal lama,
dan entah ibadat apa yang ada pada badan lelaki itu yang sudah banyak
kali mempertikaikan hukum-hakam agamanya. Dan Faridah benar-benar
menangis apabila dia mendengar bisik-bisik ahli keluarga lelaki itu
yang mula menghitung berapa banyak warisan lelaki itu!

Hj Mohnas
Al-Azhar Kaherah



 
Haji Mohnas @ Mohd Nazmi Yakob adalah pelajar di Universiti Al-Azhar Kaherah.

  Ke Penyair Malaysia