Abdul Rahim Kajai


 

(Pak Lacok, Wak Ketok)

Lahir di Selangor 1894 dan meninggal dunia 5 Disember 1943.

Abdul Rahim Haji Salim atau Abdul Rahim Kajai menerima pendidikan awal sehingga Darjah 5 Sekolah Melayu di Setapak (1905). Beliau kemudiannya dihantar ke Mekah untuk belajar agama dan bahasa Arab.

Sekembalinya dari Mekah pada 1909, Abdul Rahim berkerja dengan sebuah percetakan kerajaan di Kuala Lumpur dan kemudiannya berhijrah ke Singapura dan bertugas di Malaya Publishing House. Dia kembali ke Kuala Lumpur dan kemudiannya bertugas sebagai pelukis pelan dengan Jabatan Ukur.

Apabila ayahnya meninggal dunia pada 1913, Abdul Rahim meletakkan jawatannya dan berhijrah semula ke Mekah untuk menguruskan perniagaan ayahnya dan menjaga adik perempuannya . Perang Dunia Pertama meletus dan dia terus berada di Mekah sehingga 1917.

Sekembalinya ke tanah air, Abdul Rahim menunjukkan minatnya dalam bidang kewartawanan. Dia ke Mekah sekali lagi tetapi sebagai wartawan dan mewakili akhbar mingguan EDARAN ZAMAN di bawah pimpinan Mohd. Yunus Abdul Hamid yang diterbitkan di Pulau Pinang pada 1925. Dia bertugas selama tiga tahun dengan akhbar berkenaan dan apabila kembali ke tanah air dia berkerja pula dengan akhbar SAUDARA yang dipimpin oleh Syed Sheikh Al-Hadi.

Abdul Rahim kemudiannya menggunakan nama pena Abdul Rahim Kajai. Kajai adalah nama sebuah tempat di Sumatera iaitu tempat asal kelahiran ibubapanya.

Pada 5 April 1930, Abdul Rahim Kajai telah dilantik menjadi penolong editor Saudara dan pada 30 Ogos tahun yang sama dilantik sebagai editor. Pengalamannya di Pulau Pinang bertambah sebagai editor dan dia berjaya melahirkan tiga jilid HIKAYAT DZUL-RUHAIN.

Pada 17 Disember 1931 sebuah akhbar dwi-mingguan MAJLIS telah diterbitkan dan Rahim telah menjadi editornya yang pertama dan apabila impiannya untuk menjadikan MAJLIS sebagai penerbitan harian tidak tercapai, dia meninggalkan MAJLIS dan menjadi salah seorang editor WARTA MALAYA sebuah akhbar harian yang dipunyai oleh Syed Husin bin Al-Sagaf. WARTA MALAYA diterbitkan di Singapura dan Rahim menjadi korespondennya di Kuala Lumpur.

Apabila Syed Husin menerbitkan dua buah majalah iaitu WARTA AHAD dan WARTA JENAKA, Rahim telah diamanahkan untuk menulis editorial dan cerita, humor untuk majalah berkenaan . Rahim terpaksa berpindah ke Singapura sehingga Perang Dunia Kedua meletus dan bertugas dengan akhbar berkenaan selama empat tahun setengah sebelum dilantik menjadi editor Utusan Melayu, Utusan Zaman dan majalah bulanan MUSTIKA (kemudiannya ditukar nama kepda MASTIKA).

Dia meninggalkan Singapura pada 20 Disember 1941 dan menerbitkan PERUBAHAN BAHARU pada Mac 1942. Dia tidak bertahan lama di situ dan kembali ke Singapura dan menggerakkan BERITA MALAI yang mula terbit pada 1 Januari 1943.

Sebagai BAPA KEWARTAWANAN MELAYU Abdul Rahim Kajai menjadi mentor kepada wartawan Meayu sebelum perang. Apa yang diluahkan oleh wartawan Abdul Rahim Kajai adalah berkisar di sekitar masalah orang Melayu dan dia merupakan nasionalis Melayu yang terawal. Dia menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Melayu Singapura dan dia juga menjadi tenaga penting penggerak Persatuan Melayu Selangor dan juga Persatuan Melayu Pahang.

Penulis dan juga BAPA KEWARTAWANAN MELAYU ini telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 5 Dismeber 1943.

Namanya akan sentiasa dikenang sebagai wartawan ulung dan beliau merupakan perintis cerita pendek di dalam dunia sastera Melayu. Dia telah menulis sebanyak 48 buah cerpen dengan pelbagai tema.

KARYA

CERPEN:

Pusaka Kajai, Singapura, Qalam Press Ltd. 1949

Banyak Udang Banyak Garam, Singapura, Geliga Ltd. 1949

Lain Padang Lain Belalang, Singapura, Geliga Ltd. 1961

TERJEMAHAN:

Hikayat Dzul-Ruhain, Singapura, Qalam Press Ltd. 1928

Cerita Dzul Ruhain, Penang: Jelutong Press, 1930
 

Ke Ensaiklopedia Sastera