Make your own free website on Tripod.com
 
 
 

Hamzah Fansuri


 


              Hamzah Fansuri ialah ulama sufi dan penyair Indonesia. Tahun lahirnya masih belum diketahui secara pasti.
              Ada yang berpendapat Hamzah Fansuri lahir di Barus atau Fansur pada penghujung abad ke-16 dalam wilayah
              kekuasaan Aceh. Negeri asalnya masih menjadi pertikaian, sama ada “Syahru Nawi”, “Bandar Ayuthia” ibu
              kota kerajaan Siam pada zaman dahulu atau Syahru Nawi, nama lama tanah Aceh sempena nama seorang
              Pangeran Siam bernama Syahir Nuwi yang datang membangunkan Aceh sebelum kedatangan Islam.

              Ramai sarjana bahasa dan sastera membahas dan mengkaji hasil karya Hamzah, antaranya Francois Valentijn
              (1726) memuat dalam bukunya Oud en Nieuw OostIndie, menyebut Hamzah sebagai seorang penyair yang
              dilahirkan di Fansur. Prof. Syed Naquib al-Attas dan Winstedt sangat banyak membicarakan Hamzah dalam
              kajian mereka berpendapat bahawa Hamzah ialah orang pertama sekali menulis ilmu tasawuf dalam bentuk
              syair. Selain itu, terdapat juga kajian C. Hooykaas dan A. Teeuw.

              Ada di kalangan ulama sufi yang terkenal di Asia Tenggara yang menyentuh tentang Hamzah. Syekh
              Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin menyebut tentang Hamzah dalam bukunya Bidaayatul Hidaayah.
              Syekh Abduh Samad al-Falimbani tidak menyebut secara langsung nama Hamzah dalam kitabnya Siyarus
              Saalikiin tetapi dia telah memberi ulasan tentang beberapa kitab karangan Syekh Syamsuddin as-Sumantrani
              yang bererti dia membenarkan ajaran Hamzah Fansuri.

              Hamka dalam beberapa bukunya tentang tasawuf selalu menyebut namanya dengan Hamzah Fansuri dan
              Syamsuddin as-Sumantrani. Hamka tidak menyalahkan Hamzah secara terang-terangan seperti yang dilakukan
              oleh Syekh Nuruddin ar-Raniri atau seperti Syekh Ahmad Khathib al-Minankabawi yang menyalahkan tarekat
              Naqsyabandiyah. Pelbagai penilaian dan pendapat tentang tokoh dan ulama besar ini, ada yang negatif dan ada
              yang positif.

              Ada ulama yang mengatakan Hamzah penganut Syiah yang sesat, dan tidak kurang pula meyakini bahawa dia
              mengikut Mazhab Imam Syafie dalam bidang fikah dan mengamalkan tarekat Qadiriyah. Pegangan sufinya
              sama saja dengan Abi Yazid Bisthami, al-Hallaj dan Abdul Karim al-Jili, yakin tidak mencampuradukkan ajaran
              sufi mereka dengan ahli sufi seperti Imam Ghazali dan sebagainya.

              Hamzah benar-benar mengalami sufi berupa praktik bukan teori, kerana susah payahnya semasa
              pengembaraan, sedangkan pada zamannya alat perhubungan tidaklah selancar sekarang. Hamzah mengembara
              di seluruh Asia Tenggara, walaupun yang dicatat hanyalah negeri seperti Pahang, Kedah, Banten, Jawa dan
              Siam. Riwayat lain mengatakan dia pernah sampai ke Makkah, Madinah, Baghdad dan Parsi dengan selamat
              bahkan mungkin dia juga menguasai beberapa bahasa daerah di seluruh Asia Tenggara. Kecaman yang
              mengatakan dia berfahaman “Wahdatul Wujud” itu merupakan perkara biasa kerana berlaku hampir kepada
              semua ulama sufi.

              Beberapa karangan Hamzah ialah Asraarul ‘Arifiin, Syarbul ‘Asyiqiin, al-Muhtadi, Ruba’i Hamzah al
              Fanshuri, Ziinatul Muwahhidin, Syair Si Burung Pungguk, Syair Sidang Faqir, Syair Dagang dan
              Syair Perahu.
 

Ke Ensaiklopedia Sastera