Make your own free website on Tripod.com
 
 
 

Buatmu, Suamiku

Suamiku,
tidak kuimpi kau insan sempurna
kerana sedar kau juga sepertiku
mengheret gayutan masa-masa lalu
akibat kealpaaan diri yang dulu

Suamiku,
tidak kuharap kau insan agung
diarak pujian maha melambung
kuakur kau juga sepertiku
cuba membaiki seribu satu kelemahan diri
natijah nafsu dan syaitan yang menguliti

Suamiku,
tidak kuperlukan suami bangsawan
menghembuskan aku dengan kemewahan
jauh sekali pangkat dan gelaran
yang cuma mulia
di bibir manusia
tapi kosong di sisi Ilahi
mengangkat riyak dan takabur dipinggir hati

Aduhai suamiku,
Kuimpikan kau seadanya
meletakan Allah dan Rasul-Nya sebagai matlamat
berusaha sepenuh kudrat
membahagiakan aku dan bakal zuriatmu
berlandaskan syariat
moga redha rahmat Ilahi
buatmu, aku dan bakal zuriat kita
menjadi suratan hakikat.

FARAH NABILA

majalah Anis, edisi Mei 2000
 

  Ke Penyair Malaysia