Cinta
Kala Gegar Jakarta
  Oleh Zaid Akhtar


 


 

SAYA tidak tahu apakah alasan paling munasabah untuk diberikan kepada
editor Reformis apabila gagal menyiapkan cerpen dalam tempoh yang
dijanjikan. Biarpun banyak tema yang berlegar-legar dalam kepala,
sayangnya semuanya bagai tidak mesra. Datang sebentar dan kemudiannya
berlalu pergi. Masa terbiar begitu sahaja tanpa sebarang karya.
 
Lantas saya penuhi masa yang terluang itu -dibauri rasa
kecewa sebenarnya- dengan menulis perutusan ke sana sini. Untung-untung
rakan yang berselerakan di segenap pelosok dunia mampu mengirimkan berita.
Dan dari berita-berita itulah, siapa tahu akan terhasilnya karya!
 
Syukur. Kaedah pencarian bahan saya akhirnya berhasil. Saya
memperoleh cerita ini daripada  seorang sahabat paling karib yang
seringmengirimkan perutusan-perutusannya dari semasa ke semasa. Dia
berceritamengenai dirinya. Cerita sedih. Agak menyayat juga. Sebak dada ini
bilamengenangkannya. Namun disebabkan ketiadaan bahan, saya garapkan juga.
 
Saya mula mengetahui kisah ini pertengahan Mac yang lalu.
Menelusuri selanjutnya kala awal Mei. Natijahnya cuma diperolehi
baru-baru ini. Ia bermula apabila saya ke pusat internet untuk
mendapatkan berita tanah air. Sewaktu saya membuka inbox e-mail saya
itu, saya dapati suatu perutusan dari Jakarta. Memang itulah yang
sayananti sekian lama.
 
'Pacar apakah namanya jika sering membiarkan kekasihnya
kesepian? Kala cinta semakin bersemarak dalam jiwa, dia semakin payah
kutemui. Ada saja halangan di pertengahan yang membikin aku terasa
benar-benar orang asing. Tatkala ekonomi semakin meruncing, apakah
harushubungan yang baru bertunas ini menerima nasib yang serupa?'
 
Saya agak terkejut. Rasa gembira dan tidak sabar turut
bercampurbaur. Terkejut kerana mukadimahnya yang sedemikian rupa. Gembira
keranasudah lama tidak menerima perutusan daripadanya. Dan tidak sabar
untukmengetahui perkembangan mutakhir dirinya.
 
Mustika! Terbayang di mata kala itu wajahnya yang manis.
Lembutdan menawan. Dia sahabat yang paling akrab tatkala saya masih di
bangkupersekolahan empat tahun yang lampau. Kami ibarat isi dan kuku yang
sukar diceraikan, namun takdir telah menentukan bahawa kami akan
terpisah jauh.

Saya terlempar ke Dataran Syam demi meneruskan
pengajiandalam Bahasa Arab, sedang dia terbang menyeberangi Selat Melaka dan
LautJawa untuk mendalami bidang kesusasteraannya di Universitas Nasional
Indonesia.
 
Saya membaca terus.
 
'Ijah, dia lelaki paling hebat pernah kutemui. Ketara,
MustaqimGunawan Hatta itu tidak seperti lelaki lain. Hidupnya penuh dengan
perjuangan. Seorang pemimpin pelajar yang berjiwa besar, digilai oleh
sekian ramai gadis yang menuntut di universiti ini. Lantas, bagaimana
aku bisa percaya bila dia menyatakan minatnya terhadapku gadis Melayu
Malaysia yang tidak punya apa-apa kelebihan selain rasa rendah diri
danmalu yang berpanjangan?
 

Sebetulnya aku segan mahu menceritakan segalanya kepadamu,
lebih-lebih lagi bercakap soal lelaki dan pacaran. Maklum, engkau
pelajar Timur Tengah yang pastinya terpelihara pergaulannya
berbandingkami di sini yang agak terbuka. Dan semestinya engkau mengagumi
sahsiahlelaki pilihanmu yang alim lagi warak. Beriltizam dengan jemaah Islam
ikutanmu. Namun percayalah tudungku masih labuh seperti dahulu.

Suasanasosial dan liberal di sini belum berjaya merubah aku sepenuhnya. Dan
jejaka kelahiran Sukamandi yang akhir-akhir ini menjadi inspirasiku
itusememangnya islamik. Punya hubungan rapat dengan Amien Rais tokoh
Islamyang dihormati itu. Dan dia amat mengagumi tokoh-tokoh ulama
nusantarayang terdahulu, termasuk tokoh-tokoh di negara kita Tanah Melayu
sepertiSyeikh Mohd .Tahir Jalaluddin, Sayid Syeikh Al-Hadi, Prof. Zulkifli
Muhammad, Dr.Burhanuddin Al-Helmy, dan Abu Bakar al-Baqir. Malah dia
teramat mengagumi HAMKA ulama nusanya yang terkenal itu. Engkau tahu
apakata-kata HAMKA yang dititipkannya padaku.Titik.
 
Dia berhenti di situ. Saya menggetap bibir. Geram, biarpun sudah
terbiasa dengan kelazimannya menamatkan perutusan secara tergantung.
Sikap Ika itu sudah amat saya fahami. Katanya, biar saya senantiasa
tertunggu-tunggu, dan kami akan terus berhubungan selalu.
Ika memang berbakat dalam penulisan. Justeru, jurusan yang diambilnya
adalah Sastera Melayu. Lantaran itu saya tidak pelik membaca
perutusannya yang sedemikian menarik. Kata-kata tersusun cantik
ditambahdengan keindahan bahasa dan gaya bahasa yang memukau.
Persahabatan yang terlalu erat membuatkan kami saling rindu-rinduan.
Biarpun terpisah jauh, tetapi titipan warkah di antara kami tidak
pernahputus.

Jelasnya, dengan teknologi maklumat yang semakin pesat, kami
turut terkesan; untuk berhubung terus melalui jaringan komputer,
tidaklagi menerusi kertas. Namun, akhir-akhir ini sahaja, Ika seakan-akan
terkena kejutan. Hampir sebulan setengah saya tidak menerima sebarang
berita darinya. Mungkin seperti yang disifatkannya dalam perutusan
e-mail terdahulu. Demam 'cinta' sedang melanda!
Saya tidak tahu banyak tentang Mustaqim. Namanya memang enak
didengar.

Pastinya lelaki itu berperibadi murni.Kalau tidak masakan Ika pun
turuttergila-gila! Ada juga rasa kurang senang sekiranya Ika memilih
jejakaseberang. Tetapi memikirkan jodoh pertemuan di tangan Tuhan, saya
biarkan keadaan menentukan. Mustaqim katanya lelaki baik. Punya
karismadan kaliber selaku pimpinan pelajar di sana. Wibawanya, kata Ika amat
mengagumkan. Pemimpin setiap piket, pidato, dan demonstrasi terhadap
kerajaan. Lebih-lebih lagi kebelakangan ini kala ekonomi  Indonesia
sedang menjunam teruk. Menurut Ika, mereka bertemu kala demonstrasi
setelah beberapa bank di negara itu tumbang gara-gara IMF. Pertemuan
yang tidak disengajakan barangkali. Selebihnya saya tidak tahu.

Sesudah lima hari, saya menerima lagi perutusan di monitor komputer.
Kuharap khabarmu masih waras seperti lima hari yang lalu. Ijah,
semalamkutemui lelaki itu kala hujan turun rintik-rintik. 4 Mei 1998 adalah
tarikh yang takkan kulupa. Di mana-mana ada berlakunya demonstrasi
danrusuhan. Kalau bulan lepas di Jakarta, Surabaya dan Yogyakarta, kali
inimelarat ke Medan dan Bandung.

Faktornya, kenaikan harga barang yangmelampau. Manusia berarak di jalan raya, bertempur dengan ABRI sekutuSuharto, dan memecahkan bangunan. Terlalu banyak peristiwa yang tidakmampu aku ceritakan. Orang sudah jadi gila.
Namun kala manusia merusuh, rupanya jiwa kami turut sama merusuh. Aku
sungguh tidak mampu menolak kehadirannya dalam hidupku. Demikian juga
dirinya. Pertemuan dalam demonstrasi di depan gerbang kampus itu
sejarahbuat kami. Dan 4 Mei, tarikh yang sukar kulupa. Semalam, sewaktu aku
pulang dari kampus, kala mentari bersinar rakus,  Mustaqim bersama
seorang wanita menahanku. Mustaqim memperkenalkannya padaku. Dia ibu
lelaki itu! Aku malu amat bila Mustaqim berterus-terang sahaja di
depanibunya tentangku.

Mahu saja kusorok mukaku ini di dalam kerudung!
Ibunyaperamah, Ijah. Seorang pensyarah dan nampak islamik seperti anaknya.
Kami berbual-bual seketika sebelum mereka meminta diri. Memang lelaki
itu tidak punya masa. Dia memberikan sekeping kartu buatku.
Engkau mahu tahu apa yang tertulis di kartu itu? Kata-kata HAMKA itu
rupanya diulang lagi!

"Di mana berdirinya seorang pria yang berjaya, maka di sisinya ada
seorang wanita yang menyiraminya dengan titisan cinta dan bakaran
semangat!

Ika, maafkan aku dan fahamilah diriku. Benarlah kata Hassan al-Banna:
Tugasan itu lebih banyak daripada waktu. Namun aku tetap
mengingatimu!"
Itulah yang ditulis oleh jejaka itu.
Titik.
Ika berhenti mengejut lagi. Saya tersenyum sendiri. Gembira
mengetahuikebahagiaan yang dikecapinya. Apakah yang lebih baik daripada
mendoakankesejahteraan teman-teman? Lantas saya membalas:
Ika,
Cinta itu api yang bisa membakar. Moga engkau tidak terbakar
angkaranya.
Aku yakin Mustaqim lelaki baik namun memerlukan masa untuk engkau
mempercayainya seratus peratus. Anak musafir perlu hati-hati dalam
memilih hala. Moga semangat juang yang membara di jiwanya turut
melaratke jiwamu. Amin.
Ijah
Irbid, Jordan.

Kesan berita dari Ika membuatkan saya semakin kerap membaca tentang
perkembangan di Indonesia. Tentang Suharto - diktator yang berkuasa
selama 32 tahun sejak menumbangkan parti komunis pimpinan Soekarno.
Tentang empayar keluarganya yang membolot kekayaan negara. Tentang
Golkar. Tentang IMF yang mencekik. Juga tentang minoriti cina yang
memonopoli ekonominya. Dan tentang gerakan pelajar yang mula mewarnai
suasana!

Semuanya amat menarik minat.
Empat hari kemudian saya menerima perutusannya lagi.
Aku hargai segala nasihatmu. Terima kasih. Namun hati ini semakin
tidakberupaya melupainya. Ketrampilannya, kepetahannya, kelembutannya,
kegantengannya! Segalanya bermain di mata. Seumur usia belum pernah
adalelaki yang melafazkan cintanya kepadaku selain dia. Kalimatnya yang
rapi tersusun bikin aku benar-benar terjatuh!

Kendatipun, kami belum melampaui batas yang disyariatkan. Haram
sekalibelum pernah kami 'dating' sebagaimana pasangan lain. Bertemu pun
terlalu sekejap dan tidak selalu. Pria itu terlalu sibuk. Harga
waktunyaterlalu mahal. Hanya warkah-warkah pendek lagi ringkas yang
dibingkiskanmelalui Ratni Sulastri sepupunya yang juga teman sekuliahku sebagai
pengganti diri.

Dia mahu aku meniupkan semangat juangnya selalu. Malah, memberitahuku
bahawa dirinya selalu ditekan. Perisik kerajaan sering mengekori ke
manadia pergi. Syukur pihak universiti, di kalangan pensyarah terutamanya
tidak bersekongkol dengan kerajaan. Barangkali mereka benci dengan
keluarga Suharto yang memiliki aset ditaksirkan lebih 30 billion
dolaritu.

Ahli-ahli keluarganya seperti Bambang, Sudwikatmono, Tutut, dan
Tommy senantiasa menjadi cacian rakyat setiap hari.
Mustaqim kian sibuk. Mobil birunya payah untuk kulihat. Kuliah juga
kerap dia minggat. Rusuhan berlaku setiap hari di sini. Pertempuran
dengan polis jadi biasa. Aku tidak berani keluar seorang diri kecuali
dalam kumpulan yang ramai. Mujur juga rumahku hampir dengan kampus.
Dalam bingkisannya yang tiba kelmarin, Mustaqim menanyakan jawapanku,
penerimaanku terhadap dirinya. Ya Tuhan, sungguh aku terlupa! Bahawa
selama ini aku tidak pernah walau sekali memberi jawapan yang
meyakinkan, lantaran tidak mahu terburu-buru. Sedang dia terlalu
bersungguh-sungguh hingga membawa ibunya menemuiku. Dan aku fikir dia
sudah cukup mengerti.

Lantas, apakah jawapan yang paling tepat selain anggukan bila aku
ditanya oleh sepupunya tentang itu?
Titik.
Saya kagum dengan Ika. Tidak terburu-buru membuat keputusan. Harga
dirinya masih di tahap paling atas. Lalu sewaktu membalas
perutusannyasaya berjanji akan mengarang kisah cintanya itu.
13 Mei 1998. Saya menerima lagi berita dari Jakarta menerusi wasilah
yang sama.

Kiranya 13 Mei adalah tragedi berdarah buat negara kita, demikian
jugadi sini kukira.  Semalam, enam pelajar Universiti Trisakti ditembak
matioleh polis. Orang ramai mengamuk.di seluruh Jakarta. Mereka
menyalahkanmenantu Suharto, Lt. Gen. Prabowo Subianto di atas kejadian itu. Para
pelajar yang bersatu mendesak Suharto meletakkan jawatan. Pertempuran
dengan polis bukan lagi suatu yang ditakuti.

13 Mei seharusnya diingat oleh setiap orang cina. Di sini, etnik cina
yang cuma 7 juta daripada populasi Indonesia semakin tertekan.
Bangunandan kedai mereka dipecahkan dan dibakar. Kaum yang selama ini
menguasaiharga barangan ketakutan. Ramai yang sudah lari ke negara-negara cina
diseberang laut.

Ada ura-ura Amein Rais pemimpin gerakan Islam akan mengambil alih
tampukpemerintahan. Namun kuyakini, itu sekadar spekulasi. Kerajaan sekular
tidak akan membiarkan Islam naik. Kalau Suharto mahu dijatuhkan,
penggantinya pasti di kalangan mereka.

Kewarasanku kekal di tahap yang sama. Cuma kerinduan ini kadangkala
mengundang kegelisahan. Salahkah aku mencumbui bayangnya setiap sepi
mendatang? Dia terlalu payah untuk kulihat, Ijah. Sudah lebih
semingguaku tercari-cari kelibatnya di universiti. Hampa. Yang ada cuma
bingkisan-bingkisan padat penawar rindu. Inikah harga yang perlu
dibayar bila berpacaran dengan pemimpin mahasiswa?

Aku melihat kelainan yang agak ketara pada surat-suratnya. Kalimat
cintayang muluk-muluk bertukar menjadi 'tazkirah' perjuangan. Katanya dia
menyukai sufi tetapi melihat syahid itu lebih mulia. Nama-nama
sepertiSayid Qutb, Muhammad al-Ghazali, Fathi Yakan, dan beberapa lagi yang
tidak kukenali sering meronai topik bingkisannya.

Malam semalam, aku bermimpi kami berlarian di gigi pantai. Tiba-tiba
aku tersungkur sementara dia memecut deras meninggalkan aku keseorangan.
Apakah takbir mimpiku, Ijah?  Tidak semena-mena, buat kali pertama
akuberasa takut akan kehilangannya!
Titik.
Entah mengapa, sedikit demi sedikit saya mulai meyakini Mustaqim.
Melalui cerita Ika saya dapat mengagak, hubungan mereka semakin
intim.

Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka saling mengasihi, dan sukar
untuk dipisahkan lagi!

Tiga minggu seterusnya saya tidak menerima sebarang berita daripada
Ika.

Barangkali dia sengaja tidak mahu mengganggu saya dalam tempoh
peperiksaan akhir. Dalam begitu, saya sempat mengikuti perkembangan
terkini di Indonesia. Seperti yang dijangka, Suharto berundur dan
tempatnya digantikan oleh B.J.Habibie, yang juga kawan karibnya. Saya
cuba-cuba juga mengutusi Ika, malangnya tiada balasannya. Hinggalah
pagiitu, setelah sebulan menanti, saya menerima sepucuk surat dari
Jakarta.

Tulisan tangan di sampulnya amat saya cam. Dada tiba-tiba sahaja
berdebar-debar.

Ijah,
 
Mohon maaf kiranya engkau ternanti-nanti perutusanku ini. Lambatnya
bukan kusengajakan tetapi ada sesuatu yang menjadi faktor kepasifanku.
 
Aku tidak tahu kalimat apakah yang paling layak untuk kuungkapkan?
Air mata yang terlalu banyak menitis bikin aku kacau. Inti fikiran
jadikalut. Aku seolah-olah hilang pedoman! Tentu engkau akan terperanjat
membaca suratku kali ini. Doakanlah sahabatmu ini terus-terusan
tabah.

Saya berasa kurang enak dengan mukadimahnya. Bagai ada yang tidak
kena. Rusuhan baru saja reda. Namun rusuhan di jiwa ini belum lagi
berakhir.

Getarnya masih terasa. Gegarannya lebih kuat daripada segala gegaran
yang berlaku di Jakarta Mei lalu.

Syukur. Doa marhaen yang teraniaya makbul. Suharto akhirnya akur
bahawakubur sudah menantinya. Tetapi aku ragu dengan slogan'bebas daripada
korupsi, kolusi, dan nepotisme' yang dilaungkan oleh penggantinya.
Apa-apa pun, pedulikan itu semua. Aku bukannya warga Indonesia yang
tertakluk di bawah Pancasila!
 
Buat ke sekian kalinya aku ikut berdemonstrasi menuntut
pengunduran Suharto, biarpun kedutaan melarang. Suara pelajar di sini
benar-benar 'keramat'. Semua pelajar, pensyarah universiti, dan
rakyatjelata menunjuk perasaan di jalan raya. Kami berarak ke parlimen.
Suasana menjadi tidak terkawal. Terutama pada 14 Mei yang berdarah
itu.

Harga nyawa yang perlu dipertaruhkan untuk menuntut keadilan. Lebih
500orang mati … terbunuh dalam hiruk-pikuk rusuhan …!
Aku sebetulnya sudah tidak mahu menangis lagi. Tetapi … dada ini
terlalusebak bila mengenangkan hari-hari itu. Air mata ini bagaikan tiada
harganya. Jangan kau terkejut jika aku mengatakan Suharto adalah
pemimpin paling bangsat yang telah merampas kebahagiaanku!
 
Debar di dada sudah tidak terkira. Surat Ika kali ini jelas
berbeza. Saya semakin tertanya-tanya.
Ijah, Mustaqim telah tiada. Aku hampir pengsan bila diberitahu
tentangkematiannya. Mimpiku itu benar-benar jadi nyata. Dia telah pergi buat
selamanya; jauh meninggalkan aku keseorangan waktu cinta kami sedang
menyala-nyala. Takdir nyata melangkaui segala. Kala kami mula
mengimpikan hari-hari depan bersama, maut lebih dahulu menjemputnya.
Kala aku semakin menyayanginya rupanya Tuhan lebih mengasihinya.
 

Kesihatanku terjejas teruk. Aku baru saja pulih tetapi
sekadarzahirnya. Jiwaku ini bagai telah kosong mati bersamanya. Hatiku ini
bagai telah kering dibahangi kehangatan cintanya. Buat engkau,
doakanlahkewarasan sahabatmu ini. Aku akan cuba meneruskan hidup, biarpun
Mustaqim belum berjaya kubuang dari ingatanku!
 
Titik.

Saya mengesat birai mata yang basah. Terlalu sayu. Pilu mengenangkan
kisah Mustika dan Mustaqim yang berakhir sedemikian tragis. Cinta
merekamula bernyala, bersemarak, dan juga berakhir kala hari-hari rusuhan.
Gegaran di Jakarta itu nyata terlalu kuat. Mustika itu adalah
mangsanya.
 
Kami terus berutusan meskipun tidak sekerap dahulu. Saya
sedar, Mustika memerlukan masa untuk memulihkan semangatnya. Sedih juga.
Bahanakehalobaan pemimpin meragut segala-galanya. Nyawa, harta, dan cinta.
Harga yang harus dibayar untuk sebuah keadilan!
 
Sewaktu saya menyerahkan manuskrip cerpen itu kepada editor,
saya tiba-tiba dihujani rasa bersalah. Cerita duka sebegini
sewajarnyadikulum kemas, tanpa diluahkan kepada sesiapa. Tetapi rasa simpati
yangmerembes hebat mendesak saya memaparkannya juga. Kisah cinta luka
yangbukan mainan.
 
Sebuah cinta kala gegar Jakarta!
 

   KE CERPEN ON-LINE