Sehangat Montmarte
Oleh Zaharah Nawawi
 
 

GEMA memasang mata.  Liar memerhati manusia lalu-lalang di sekitar.
Sepasang kaki bersalut but  hitam dari kulit tiruan tersorok dalam seluar denim biru lusuh, melangkah ke luar  funiculaire. Perawakannya yang agak tegap, gaya berjalan sedikit lasak dan rambut perang keemasan lurus, mencecah bahu.  Dia bergegas  menghala ke  Ru Du Card Gulberr di sebelah Sacre-Cceur bangunan peringatan berwarna putih dibina untuk Sister Marguerite-Marie pada abad ke 17  yang turut menempatkan genta seberat 16 tan.  Loceng tersebut dikatakan  antara yang terbesar di dunia.

Gema berlari-lari anak mengekori wanita itu ke puncak   Montmarte.
“Dom!” Seru Gema sebaik tiba di Ru de la Bonne.
 “Domenique!!” Gema kuatkan suara.  Wanita itu menoleh. Ah, salah orang. Gema malu.

Udara segar musim bunga disedut dalam-dalam.  Dada yang kembang beransur kempis apabila muatan  paru-paru dilepaskan berdikit-dikit. Pusat pelancongan  Montmarte semakin sesak.  Gema berjalan bersama ribuan pelancong menghala ke Place Du Tertre. Lingkaran tengah yang kecil dan padat dan hangat dengan pelukis berbaur ribuan pelawat  datang dan pergi pada setiap minit itu menjadi  tempat dia bersama Domi mencari rezeki lewat bakat seni yang ada.

“Hi, Gema! Bonjour!”
Itulah Naqib rakyat Perancis berasal dari Morocco.  Cacat kaki, jalan bertongkat. Gema berhenti di tepi pintu gerbang restoran terbuka  Crepes Glaces Buvette. Sewaktu  meletakkan bangku, meja dan kotak peralatan lukisan diperbuat dari kayu, bunyi tongkat Naqib bersentuh aspal berdetak-detak lembut, kian hampir.
“Seperti biasa, tempatmu mesti di sebelahku.”
“Siapa yang menetapkan?”
“Rezeki datang dari Allah. Tapi pelancong yang tidak sabar menunggu engkau menyiapkan lukisan wajah modelmu, akan berpindah ke depanku.”
“Engkau terlalu angkuh  untuk disenangi.”
“Sudah selalu aku katakan, sentuhan seniku punya harga.” Kepongahan Naqib tidak pernah dan tidak mungkin berbuah.
 “Hari ini aku ingin bersama Natelia.” Gema menolak.
“Engkau dengarkah Naqib? Gema ingin bersamaku! Orang sebaik aku memang disukai dan  layak dijadikan teman!”  Natelia meninggikan suara memperli lelaki setengah usia, berkumis dan berjambang nipis itu.

  Sindiran Natelia  tajam menghiris, tapi Naqib tidak kisah. Dengan tangan kirinya dia  mengangkat  kerusi dan kotak peralatan Gema yang kehitaman bekas debu kapur dan cat lukisan itu lalu diletakkan di samping mejanya.

Gema mengerdipkan mata ke arah Natelia.  Natelia angguk. Merelakan.
Semalam, cuti musim bunga  bermula. Pelajar pelbagai peringkat usia dari seluruh Perancis bertumpu ke nadi utama Montmarte yang hangat dengan kemeriahan itu.
 Lima yang tertarik dengan hasil tangan serta tawaran harga sederhana Gema, beratur sabar menanti jari-jari lembut itu menyiapkan kerja seni mengabadikan potret di kertas. Naqib mencari anak mata sesiapa yang menoleh ke arahnya.  Apabila bertembung pandang dia melemparkan senyuman.

“Saya sedia melukis wajah kamu.  Lihat  ini…”  Dia menunjukkan  lukisan wajahnya sendiri yang dibuat begitu rapi dan halus, “mengkagumkan, bukan?”
“Berapa?” Wanita Jepun yang lenguh kaki menunggu Gema, membongkok dua tiga kali.
“Dua ratus franc.”
Wanita itu diam.

Naqib mendengus. Pandangan tajam dari balik kepala tongkat yang bengkok seperti kaki payung itu, tidak pernah menyenangkan sesiapa.  Perempuan Jepun berpaling ke lain.
“Ada  rupa ada harga,” Naqib menggumam.

“Aku lapar.”  Naqib  merapati Gema.  Gema hulur 100 fr ke dalam genggaman Naqib.
Dengan bantuan tongkat kayu berkilat baru disepuh barnis, Naqib  ke restoren Sympa  membeli sarapan kegemaran: salad tuna bersama kentang goreng dan beberapa hirisan daging  anak lembu, yang baru dipanggang.

Naqib mulai makan sambil mengadap kotak peralatan lukisan yang dijadikan meja kecil. Gema  menutup kotak lukisannya.  Sekiranya dia duduk di situ sehingga petang, sekitar seribu franc  mampu diperolehi.  Tapi pagi itu ketenteraman Gema tergugat. Duit bukan segala-galanya. Lima ratus franc yang melapisi dompet lusuhnya pagi itu  sudah memadai.

 Sudah beberapa hari Domenique rakan serumah @ penyelamatnya,  tidak pulang. Hati Gema rusuh sakan.
‘Domi, Domi…’ mata Gema melilau memerhati setiap wanita yang lalu di sekitar.
‘Domi…’ dia jengah setiap wajah kiranya wanita berambut perang keemasan  mencecah bahu, dan memakai cermin mata hitam, melintasinya.
Dengan perasaan sedih-kacau Gema melangkah menuju ke   Rue Lamarck. Di situ  minggu lalu berlaku peristiwa bangunan sedang dibina runtuh dilanda ribut Ally.  Di situ jugalah kali terakhir Gema melihat  Domi membantu mengangkat  mangsa bencana alam. Dia sama-sama masuk ke perut ambulan lalu hilang dalam kesibukan dan hingar pengunjung Montmarte yang terkejut @ gempar.

          Malam, semasa Gema tidur Domi pulang senyap-senyap.  Gema cuma dapat membaca kertas nota kuning yang ditampal di luar pintu bilik, pagi besoknya.  “Gema sayang, saya mungkin tidak pulang untuk beberapa hari.  Jangan risau.  Tolong jaga Mirounette seperti anak sendiri.”

Tetapi cuma  empat hari  Gema tenang tanpa Domi. Menjelang hari kelima, gelora dura mulai merempuh benteng damainya.
Gema melihat Domi – bekas anggota pasukan perubatan semasa perang Vietnam yang hanya mempunyai sebelah mata kanan sahaja itu -- berlari-lari memberi bantuan apabila mendengar bunyi dentuman kuat  bangunan tiga suku siap itu ranap.  Debu-pasir berterbangan memenuhi udara.

Sebaik tiba di persimpangan Rue de la Barre satu tepukan keras hinggap di belikatnya. Gema mematikan langkah.
“Hi! Gema!”
Suara lantang, riang dan mesra itu milik istimewa  Sophia, wanita Uzbakistan yang mahir bermain  akordian, mencari rezeki menyanyi sambil memainkan alat muzik tersebut untuk menyara diri dan dua orang anak angkat.

Gema  menoleh @ berpaling mengadap.
“Wajahmu kusut!”
“Sudah seminggu Domi menghilang.”
“Engkau tidak perlu bimbang.” Sophia membetulkan skafnya yang melurut  digayuti berat arkodian  di bahu.
“Mustahil, mama .”

“Engkau mesti kuat.” Sophia melemparkan pandangan ke arah Rue Lamarck.  “Ribut  Ally kali ini dahsyat sungguh. Banyak pohon tercabut.  Aliran terputus.  Paris hampir lumpuh dibuatnya. Di situ saja tiga pekerja terkorban dihempap  runtuhan.  Seorang selamat tapi hancur  tangan kanan.  Tanpa anggota penting itu lelaki tersebut pasti tidak mungkin bekerja semula. Bagaimana dia mahu menyara keluarga? ”
“Dan Domi hilang sejak itu.” Gema betul-betul tidak mampu membebaskan benak daripada mengingat Domenique.

“Mangsa tersebut khabarnya sudah  beransur pulih.”  Sophia kembali memandang Gema.  “Dia sudah mendapat tangan baru. Menurut Petit, ia akan dapat berfungsi seperti biasa dalam tempoh beberapa bulan.” Dia memanjangkan cerita yang disampaikan  jurutera binaan yang diberi kontrak mengubah suai bangunan yang runtuh itu.
“Tapi Domenique pula hilang.”
“Emm…”
Seseorang lalu di belakang Gema.  Bau Eau de Parfum A Vaporiser berjenama Rare Rubies menyentuh deria Gema.  Pantas   Gema berpaling.
“Kenapa Gema?”  Sophia terkejut dengan tindakan mendadak  itu.
“Ah, wangian itu kegemaran @ selalu dipakai Domenique.” Warna kecewa menyapu wajah Gema.

“Cit cit cit…”   Sophia  menggeleng. Lengan kanan Gema dicekanya.  Kuat.
“Kau harus berjiwa merdeka, Gema.  Mesti membebaskan diri daripada berterusan bergantung kepada Domi.  Domi sudah  melatih engkau secukup-cukupnya supaya mampu berdikari di bumi Paris ini.   Engkau sudah boleh merdeka.  Merdeka Gema.  Bebas. Merdeka!”

“Bebas merdeka itu amat indah. Mampu berdikari pula meyakinkan.  Mengkhuatiri @ merindui seorang sahabat pelindung adalah perasaan tanggungjawab semula jadi anugerahNya, mama. Ketiga-tiganya  berbeza tapi saling berkait. Rapat.”
Gemawan anak Melayu dari Malaysia sudah lama didendangkan  arwah ibu, nenek dan moyang serta masyarakat sekitar dengan pantun pisang emas di bawa belayar.  Kebebasan yang Gema nikmati tidak mengizinkan diri  dan hati  juga perasaannya menjadi seperti sebatang pokok tuyat.  Atau seperti e’pouvantail yang dicipta manusia untuk menghalau burung dari memakan biji benih tanaman. Atau seperti alat musik yang pandai berlagu+menghibur tapi tidak mengenal erti rindu dan kasih kepada tuannya.
Sophia bertubuh tambun memeluk Gemawan, erat sekali. Hiba+sayang berulit membelit perasaan.

 “Pernahkah Domi memelukmu begini?”  Sophia menduga.
“Mama.  Jangan fikir yang bukan-bukan.  Domi amat sopan dan hormat orangnya.  Jangankan memeluk, mencuit jari Gema pun tidak.  Dia sentiasa berpakaian lengkap, seperti ada tetamu baru dikenal bermalam  di rumahnya.”
Sophia menambah-eratkan pelukan. “Ada sesuaut yang mahu dilindunginya,” ujarnya perlahan.
“Apa?”
“Mama sedia jadi pelindung Gema jikalau Domi tidak pulang.” Sophia mengalih bicara.
Senyap.

            “Biarpun mama tidak kaya, mama mampu memelihara dua gadis terbuang, seperti anak kandung. Masih ada ruang kosong untuk seorang lagi.”
Gemawan balas pelukan Sophia. Kejap.

“Jadilah anak mama. Biarpun Mama miskin, usia sudah mencecah 60 tahun, tapi mama masih kuat. Anggota mama masih cukup: kaki, tangan, mata semuanya dua. Lengkap.  Mama cuma tidak pandai melukis seperti Domi. Tapi, sama ada pelukis atau pemuzik atau penyanyai, kita sama-sama seniman.” Sophia ayun tubuh comel Gemawan yang tenggelam dalam pelukan hangatnya itu, diiringi ketawa nyaring,  meriah dan hangart, sehangat dan semeriah Place Du Tertre di puncak Montmarte.
“Tapi kenapa Domi menghilang, mama?”

“Ah, engkau masih ingat Domi juga biarpun mama bersedia  jadi pengganti.”
“Tolonglah bebaskan Gema dari desakan, mama.  Gema berjanji untuk memikirkannya.”

“Ha!” Sophia terjerit.  Pelukan semakin erat.
“Mama tahukah ke mana Domi pergi?  Gema sudah mencarinya di hospital, memeriksa dan bertanya setiap wad, tapi Domi tiada di sana.”
“Domenique memang begitu, sayang.  Dia punya tugas tersendiri yang mahu dilunaskan tanpa campur tangan sesiapa.  Keputusannya, haknya.  Hasratnya, keputusannya. Tiada siapa boleh menghalang.”  Sophia melonggarkan pelukan.
“Mama seperti menyimpan suatu rahsia.”
“Apalah erti rahsia bagi orang seperti Mama. Ah, sudah.  Jangan risau.  Mama tahu Domi akan pulang  apabila tugasnya selesai.  Percayalah.. .”
“Kenapa Gema mesti percaya, mama ?”
“Sudah 20 tahun mama kenal Domi, berbanding Gema yang baru setahun bersama kami  terkirai-kinja menjadi seniman jalanan.”

 Gemawan terkesima.  Dia tidak pernah terfikir untuk dilabel dengan  gelaran itu.  Sama sekali tidak. Dia datang ke Paris awalnya sebagai seorang graduan kelas pertama dan peraih hadiah emas universiti. Dia menjadi kepercayaan dan harapan sebuah syarikat koporat untuk menjalankan misi  mempelajari formula membuat haruman dari pelbagai jenis bunga-bungaan dan tumbuhan herba di kota minyak wangi Grasse, 1000km jauhnya dari Paris. Namun taufan gawat  yang melanda negara, meruntuhkan banyak  perniagaan mega termasuk ‘La Harum’s Corporation,’ yang tersungkur kaku, lalu dengan rela membebaskan Gemawan daripada ikatan biasiswa yang sepatutnya dibayar dengan tenaga kepakaran.
Gemawan tersadai di Paris.

Ketika dia hampir tersembam di jambatan Pont d’Iena jarak sekitar sepuluh meter   dari kaki besi Menara Eiffel,  Domenique tampil dengan sebongkah perasaan kemanusiaan --  mengangkat tangan persahabatan, menghulur  bantuan dan melindungi.
Domenique adalah segala-galanya bagi Gunawan.  Tanpa Domenique, entah-entah dia sudahpun mengikut arus alir ke Piggale, syurga malam di kota cinta itu.
Sophia angkat dagu Gema yang melekap di dada pejalnya.
“Dominique pasti pulang.  Percayalah.”  Sophia mengesat genang di tubir kelopak mata  Gema dengan ibu jari kanannya.  “Kalau tidak, mama pun ada…” Sophia rangkul bahu Gema.

“Mari minum.  Mama belanja.” Suara  Sophia kembali riang,  lantang dan hangat.
Pengunjung lain datang  bersantai, makan stake frittes di restoran La Cremaillere 1900. Gemawan dan Sophia  sekadar menikmati secawan expresso, kopi pekat Perancis dengan aroma dan rasa menyegarkan sambil mengunyah crepes kuih seakan apam-balik yang panas berturap coklat, di restoran terbuka di tengah jantung Place Du Tertre itu.

 Sewaktu Gema mereguk titis terakhir expresso dari dasar cawan kecil, dia melihat Sophia yang duduk mengadap jalan mengangkat mata.  Ada cahaya mengerlap indah. Serentak dengan gerak kepala Gema menoleh ke kanan, seseorang berdiri betul-betul di sisinya.
 “Domi!  Domi!”

Itu saja yang dapat Gema tuturkan sebaik melihat senyuman Domenique terserlah manis.   Kegembiraan yang tidak terbatas membuat  Gema  menggapai tangan kanan Domi yang memang sudah tidak berkelingking itu, mahu menariknya duduk. Tetapi  tangan itu sudah tiada. Gema renung penuh tanda tanya.  Dia tidak percaya bahwa yang tinggal pada Domenique cuma lengan dari paras siku berbandej kemas dan keras. Wajah Gema tiba-tiba bertukar pucat.

Naqib dan Natelia datang memeluk dan mencium Domenique, kanan kiri, kanan kiri bertalu-talu.
 “Mama sudah jangka...  Dermakan atau jual?” Sophia menyapu muka dan matanya yang terasa  basah.
 Domenique duduk di sebelah  Gema.  Dia tidak mengindahkan kata-kata Sophia.
“Apa khabar Mirounette?” Dia merenung Gema dengan satu-satunya mata yang dia ada, di sebalik cermin mata hitamnya.
 “Mana tanganmu Domi?” Ujar Gema setelah kejutan berlalu. Direnungnya mata kanan Domi yang hijau jernih seperti mata Mirounette itu.
 “Gema akan tahu juga nanti.”  Domenique elus rambut Gema dengan tangan kirinya.
 “Ya. Ya.”  Naqib dan Natelia mengangguk.
“Nampaknya macam engkau yang kemalangan minggu lalu, bukan lelaki pekerja binaan itu.”
 Domenique senyum. Dikucupnya dahi Gema, bagai kucupan seorang ibu.  Dia melihat bibir Sophia terbuka, mahu berkata-kata tapi Domenique pantas menutup.
 “Aku mahu pulang. Aku rindukan Mirounette. Rindukan rumah. Rindukan…” Dia mengadap Gema.  “Engkau mahu balik sama, Gemawan?”

 Tetapi Gemawan tidak mendengar pelawaan tersebut. Benaknya sibuk mentafsir dialog Sophia dan gerak-riak  Domenique.  Apakah mungkin Domi mendermakan atau menjual tangan kanannya itu kepada mangsa runtuhan minggu lalu?
 “Tidak mungkin!” Gema mengejutkan Sophia dan Dominuque yang menanti jawapannya. Natelia dan Naqib yang sudah kembali ke meja lukisan masing-masing, cuma mampu menoleh.

 “Tidak mungkin buruh lelaki itu mendapat ganti tangan seorang wanita!”
Suara Gemawan riang dan hangat, seriang dan sehangat  Montmarte dan Place Du Tertre yang sentiasa padat dengan manusia.
 

    Ke Cerpen-Online