Make your own free website on Tripod.com
 

IMPIAN
TSU-RYI
Oleh : NISAH HAJI HARON
 


 

“TEKANAN ini telah mencapai kemuncaknya. Aku terus termengah-mengah. Rontaanku seperti tidak punya sebarang pengertian lagi. Aku kian lemas, terketar-ketar  tanpa secebis belas ihsan. Kerakusan mereka mencerobohi dan menjajah keremajaanku memaksa aku memilih jalan ini…”

Lettisia hanya merenung paparan skrin kecil laptop miliknya yang menayangkan amanat ringkas daripada seorang pengirim e-mel yang amat dikaguminya. Dia membuang pandang pada panorama pusat bandar melalui tingkap bercermin luas di belakangnya. Dibiarkan fikirannya melintasi garis mengufuk pada bandar dari tingkat 21 itu bersama-sama dengan pesanan yang mengusik ruang nubarinya.

Terlalu ingin rasanya dia berada di sisi anak gadis yang rindukan pelukan semangatnya. Mendakap mesra serta membisikkan pada gegendang hati yang segalanya akan pulih seperti status quo. Membiarkan titik tangisnya melembabkan bahu yang boleh meredakan bebanan tergalas. Namun Lettisia mengerti bahawa jarak dan waktu menghukum mereka begitu jauh disempadani laut dan belantara.

Ruang pejabat seluas separuh gelanggang badminton itu tidak mampu menyumbang sebarang rasa ketenangan yang telah dibawa pergi bersama amanat ringkas itu. Hatinya tertanya-tanya sama ada berita baru ini harus diperpanjangkan kepada ibu bapa si pengirim kecil ini. Mampukah berita itu nanti menghadiahkan sebuah kelegaan kepada mereka atau sekadar mengeruhkan lagi enapan kedukaan pada hati.

“Tugas kau sebagai peguam meletakkan tanggungjawab itu pada tempatnya. Kau harus memaklumkan pada mereka di mana Tsu-Ryi berada.”
Lettisia tidak menjawab malah sekadar tersenyum kepada rakan sejawatnya itu. Jawapan seperti itu memang sudah diduga. “Sekurang-kurangnya membolehkan mereka membatalkan penculikan daripada fikiran mereka.”

“Qumaizy, dalam hal ini aku bukan peguam mereka ataupun   Tsu-Ryi. Aku tiada arahan untuk berbuat apa-apa. Harus dibezakan urusan profesional dan urusan kekeluargaan di sini. Aku rasa tak perlu kuperjelaskan lebih lanjut lagi.”
“Lantas kau harus mengambil tempat sebagai adik ibunya. Menguatkan lagi alasan untuk kaumaklumkan berita ini kepada mereka.”

Lettisia menangguhkan bicaranya. Dia tahu Qumaizy tidak mungkin mengerti apa yang sedang dirasakan kini. Ada banyak lipatan di dalam sejarah kekeluargaan ini yang tidak perlu dibuka padanya, meskipun dia tahu kasad rakannya itu jelas terbau kemurniannya. Itu dia hargai. Namun dia punya sebab tersendiri untuk menyimpan berita yang disampaikan oleh Tsu-Ryi kepadanya sebentar tadi. Dia tahu hal itu tidak harus dinyatakan kepada Qumaizy kerana rakannya itu juga turut tidak akan mengerti.

“Biarkan aku berfikir sendirian.”
Permintaan yang bernada muktamad itu membuat Qumaizy mencari pintu keluar dari pejabatnya. Lettisia merenung barisan fail yang telah disenaraikan oleh setiausahanya untuk sebutan pagi esok. Baru separuh sahaja yang ditelitinya. Baki fail-fail itu menjadi mangsa jerutan perasaannya memikirkan Tsu-Ryi. Esok dia masih ada masa sebelum sidang video di antara mahkamah dan firmanya dihidupkan.

Penerimaan masuk Tsu-Ryi enam bulan dahulu ke Fakulti Undang-undang yang pernah mengijazahkan Lettisia dengan gelaran yang sama telah memutik segala punca kekalutan ini. Itu Lettisia sedar. Tetapi terjahan kenyataan yang datang seperti Air Terjun Niagara tidak mampu ditahan dengan sebelah tapak tangan sahaja. Kuasa itu tiada di tangan Lettisia untuk menarik Tsu-Ryi keluar dari situ.

Sesungguhnya ibu bapa Tsu-Ryi berada di puncak kegembiraan apabila anak tunggalnya itu berjaya digelar mahasiswi termuda yang pernah diterima masuk. Lettisia sedar di situ nanti masalahnya akan bermula. Halangan demi halangan yang diletakkan oleh Lettisia di antara Tsu-Ryi dan langkahnya ke fakulti bukan pilihannya, sedikitpun tidak mengurangkan usaha ibu bapa gadis itu.

“Auntie Lettisia, kita saman sahaja mereka,” cadang Tsu-Ryi ketika Lettisia melawatnya tiga bulan dahulu.
Dia tertawa kecil. “Nak saman macam mana?”
“Seksyen 375 Kanun Keseksaan!”
“Rogol? Itukan jenayah seksual. Auntie tahu kau semestinya telah membaca Kanun Keseksaan dari kulit ke kulit. Tapi ini bukan aplikasinya. Tsu-Ryi, come on, you’re supposed to be a genius not a clown!”

“Tempat saya bukan di sini, Auntie! Mereka cerobohi keremajaan saya. Mereka rampas zaman keanakan saya. Mereka dewasakan saya sebelum masanya.”
Lettisia merenung rumput di sekeliling bangku taman bunga universiti yang menjadi pendengar setia perbualan mereka. Ternyata Tsu-Ryi punya minda yang dewasa tetapi jasmani, jiwa serta emosinya masih belum setara dengan kematangannya.

“Auntie masih ingat elemen Seksyen 375?” dia menyambung. “Bukan kehendak wanita tersebut; tanpa kebenarannya; jika dengan kebenaran tetapi dia diletakkan di dalam ketakutan yang dia akan dibunuh atau dicederakan. Salah satu elemen sahaja sudah mencukupi untuk jenayah ini. Jenayah ini terhadap saya, Auntie. Saya telah lama menjadi mangsanya!”

“Tapi, Tsu-Ryi seorang gadis yang istimewa. Tiada gadis lain yang setara dengan umur Tsu-Ryi boleh berada di sini. Tsu-Ryi harus hargai keistimewaan ini,” Lettisia cuba memujuk meskipun di dalam hatinya tidak mempercayai bahawa dialah yang menutur kata-kata itu.

“Istimewa? Saya belum pun menyambut hari si manis 17! Auntie masih ingat peruntukan terakhir Seksyen 375? Kalau gadis itu di bawah umur 16 tahun, jenayah ini adalah statutori! Mengikut seksyen seterusnya, mereka boleh dipenjarakan tidak kurang dari 5 tahun dan tidak melebihi 20 tahun. Mereka juga boleh disebat.”
Lettisia tidak terus membalas. Dia tahu Tsu-Ryi ingin meluahkan perasaan dengan memberi kuliah undang-undang jenayah di taman bunga universiti ini.
“Habis, Tsu-Ryi nak berhenti dari sini?”

“Saya cuma mahukan secebis ruang dan sedikit pengertian serta sepotong kebebasan seperti gadis normal yang lain. Mengapa mereka tidak boleh terima semua itu, Auntie? Berapa lama lagi harus saya membasahkan bantal dan tilam dengan air hangat setiap malam selepas berfoya-foya dengan buku-buku dan nota kuliah yang tidak ingin saya dalami?”

Fikirannya kembali ke ruang pejabatnya yang hanya ditemani deruan bunyi pendingin hawa. Permintaan Tsu-Ryi bagi merahsiakan lokasi dirinya supaya dia dapat menjatuhkan hukuman ke atas kakak dan abang ipar Lettisia ini masih menuntut  kewajaran. Kepercayaan anak saudaranya itu begitu bulat terhadapnya. Harapannya segunung tinggi. Andai pecah di mulutnya nanti, e-mel ini adalah pesanan terakhir daripadanya. Begitu bunyi ugutan Tsu-Ryi.

Malam telah menguasai hari. Lampu di pejabat Lettisia sahaja yang masih menebarkan cahaya kalimantangnya. Qumaizy telah menghantar e-mel dari biliknya yang dia ada temu janji dengan anak guam untuk makan malam. Seperti biasa, Lettisialah orang yang terakhir berada di firma ini.

Jemarinya telah diletakkan di atas papan kekunci laptop. E-mel terkini dari Tsu-Ryi dibalas. “Bertahan dulu di mana saja kau berada. Kau sekarang lebih terkenal daripada masa kau menjadi mahasiswi termuda. Auntie akan maklumkan berita terkini.” Tetikus pintarnya menekan butang ‘hantar’. Lalu berlayarlah pesanan itu di alam siber mencari penerimanya.

Lettisia menyusun kembali kesemakan yang menguasai meja tulisnya. Dia ingin keadaan meja itu terkawal sebelum dia mematikan suis lampu pejabatnya.
‘E-MEL BARU’ – perkataan itu berkelip-kelip berkali-kali. Lettisia mematikan pergerakannya dan kembali menghempas punggungnya pada kerusi. Barangkali e-mel dari anak guam memberikan arahan terkini, desis fikirnya. Dia mencari nama pengirim.
“Auntie, saya tak ingin kembali lagi. Biar saya pergi ke alam yang baru jika saya dipaksa lagi untuk pulang. Biar saya pergi ke alam yang baru jika di sana ada kebebasan yang saya cari selama ini.”

Hmm… dia sedang online, fikir Lettisia. Pasti dia di kafe siber. Lebih baik terus establish contact, fikirnya lagi. Cadangan untuk meninggalkan pejabat dibatalkan terus.
“Kebebasan bagaimana lagi, Tsu-Ryi? Kalau kebebasan itu boleh meruntuhkan dinding moral dan agama sendiri. Kau istimewa dan terkawal kerana kau adalah permata yang harus disimpan di dalam kotak yang berbaldu.”

“Auntie, tolonglah mengerti. Saya cuma inginkan kebebasan yang normal. Kebebasan milik anak muda yang lain. Mengumpul memori indah bersama. Membesar dan menyimpul pengalaman, bukan sekadar mendengar teori bagaimana hendak mengambil bas untuk pulang. Tetapi merasai bagaimana orang bersesak-sesak mendapatkan bas. Bukan sekadar mendengar cerita, tetapi mengalaminya sendiri. Itu pun saya tidak mampu alami. Saya tidak ingin jadi si nuri emas dalam sangkar bertatah permata ini lagi.”

“Mereka sangka kau telah diculik. Mereka menunggu panggilan untuk meminta wang tebusan. Ini sudah agak keterlaluan. Sekurang-kurangnya, maklumkan pada mereka yang kau dalam keadaan selamat, walaupun kau enggan menyatakan lokasi. Atau kau mahu Auntie yang beritahu?”

“Tidak sama sekali!  Kebebasan saya yang telah diculik pergi. Dan saya dipaksa menebusnya dengan cara yang ditentukan oleh sang penculik itu. Biar mereka terhukum. Biar mereka rasakan bagaimana sesuatu yang disayangi diculik!”

E-mel terakhir daripada Tsu-Ryi untuk malam itu. Bunyinya cukup muktamad dan Lettisia cuma ingin menghormati pendirian anak gadis yang hanya mahukan sedikit ruang untuk menjadi seorang remaja. Sayang sekali, rakan sebayanya juga terhad. Ruang persahabatannya juga setakat di pintu pagar sekolahnya sahaja. Selebih daripada itu, dia milik keluarganya yang akan menentukan setiap keputusan hidupnya. Lettisia mengeluh sendirian.

Deringan telefon bimbitnya mematikan penjelajahan mindanya kepada Tsu-Ryi pagi itu. Citroen Xantia merahnya diberhentikan segera di ruang kecemasan. Lettisia menekan butang hijau pada alat selular itu.
“Tsu-Ryi! Kau di mana?”
“Tempat yang sama, Auntie.” Jawapan daripada anak gadis itu agak tenang. “Auntie, please check you e-mail. Urgent.”
“O.K.” Talian diputuskan.

Pemanduannya ke pejabat disegerakan. Lettisia boleh membaca e-melnya dari laptop yang dibawa bersamanya jika digabungkan dengan kuasa telekomunikasi dari telefon bimbitnya. Namun dia memilih untuk berada di ruang yang lebih selesa bagi mendapat maklumat terkini daripada Tsu-Ryi. Pasti penting, fikirnya. Jika tidak masakan anak saudaranya itu mengirim e-mel sepagi ini.

Sebutan kes untuk pagi itu agak banyak dan panjang mengekang Lettisia daripada meninggalkan sidang video yang telah dihidupkan. Hanya satu setengah jam sebelum tengahari barulah pendaftar mahkamah melepaskannya dengan senarai tarikh-tarikh akan datang bagi setiap fail. Lettisia memajukan maklumat itu kepada setiausahanya. Tetikus pintarnya sekali lagi mengirim arahan itu kepada penerima.

Fikirannya masih belum meninggalkan pesanan Tsu-Ryi supaya membaca           e-mel. “Auntie, ada hackers di antara kita. Saya nyaris dikesan malam tadi. Ada orang tahu kita berkomunikasi.”

Pendek sahaja bunyi pesanan tetapi mampu meragut tangkai jantung peguam itu. Angkara siapa pula kali ini? desis Lettisia. Puas dia berkira-kira.
Terjahan masuk pada pintu pejabatnya dengan rakus mendapat perhatian sepenuh perhatian Lettisia. Dua manusia yang amat dikenalinya memakai raut wajah amarah menerpa ruang profesionalnya. Tanpa dipelawa kedua-duanya menyelesakan diri di kerusi berhadapan peguam firma ini. Lettisia masih tidak membuang wajah tenangnya. Reaksinya bersahaja menanti muntahan kata daripada mereka. Pintu pejabatnya berdentum dengan sendiri.

“Tergamak kaubuat kami makan hati, Lettisia!” bentak abang iparnya sebagai mukadimah yang begitu dinantikan.
“Maksud abang?”

“Kau tahu maksud kami,” sela kakaknya pula. “Kau menyembunyikan Tsu-Ryi dari pengetahuan semua orang. Peguam jenis apa kau ini? Kau kan tahu undang-undang!”
Lettisia merenung keduanya dengan tikaman pandangan yang menusuk. Matanya jelas tidak dapat menipu gelodak perasaan yang tidak dizahirkan pada wajahnya. Tuduhan-tuduhan yang dihunjam kepadanya benar-benar mencabar dinding kesabarannya.

“Sebelum abang dan kakak teruskan lagi, tolong pastikan apa yang dikatakan itu ada asasnya. Kalau sekadar ingin bercakap sebarangan bukan di sini tempatnya.”
“Ah! Kau pun sama dengan penculik-penculik tu. Kau gilakan wang ringgit aku. Tak cukupkah apa yang kau ada selama ini?” Abang iparnya terus menyerang.
“Abang, saya masih tidak jelas. Apa maksud abang dan kakak melangkah sempadan ruang pejabat saya tanpa salam begini?”
 

Sepi menguasai suasana sepenuhnya.
“Lettisia,” ujar kakaknya yang cuba memperlahankan tekanan suara. “Kami ada maklumat yang Tsu-Ryi selama ini banyak menghubungi kau.”
“Kakak percaya semua itu?”
“Kami tiada pilihan lain,” celah lelaki itu pula.

“Jadi kalian berdua fikir sayalah ‘penculik’ yang ‘gilakan wang ringgit’ abang?” Pemulangan paku buah keras daripada peguam itu terasa menusuk dinding perasaan penerima sasaran. Abangnya mula mengendurkan ketegangan pada raut wajahnya.
“Abang, saya sebenarnya faham apa yang sedang dilalui oleh Tsu-Ryi. Tetapi saya ada amanah yang perlu disimpan.”
 

* * * * * * * * *

Perintah injunksi bersama mohor mahkamah tinggi itu dihulurkan oleh Lettisia kepada Tsu-Ryi sebaik sahaja gadis itu mengambil tempat di hadapan ibu saudara yang sekaligus peguam harapannya. Kertas putih bersih yang telah meletakkan halangan kepada ibu bapanya daripada terus menganggu hidupnya itu diteliti baris demi baris.

“Perintah ini sudah disampaikan kepada mereka,” jelas Lettisia.
Tiada jawapan.
Lettisia menunggu kalau-kalau ada reaksi daripada Tsu-Ryi. “Perintah ini dibuat secara ex-parte. Maknanya mereka boleh mencabar perintah ini jika mereka mahu.” Lettisia percaya Tsu-Ryi memahami kesan perintah jenis ini. Namun dia rasa terpanggil untuk menerangkannya. Rutin tugas mengajarnya begitu.

“Betulkan ini yang kau mahukan, Tsu-Ryi?”
Gadis itu meletakkan perintah itu di atas meja. Perlahan-lahan dia menangkat muka. “Mengapa Auntie sahaja yang faham perasaan saya?” Ada nada sendu yang berbaur dengan ketenangan dirinya.

Giliran Lettisia pula memasang jeda. Renungan Tsu-Ryi dibalas dengan redup.
“Auntie ada banyak sebab. Cukuplah kalau Auntie katakan Auntie tak mahu Tsu-Ryi merasai apa yang Auntie lalui.”

Serentak dengan ujaran kata-katanya, Lettisia mengimbas senyuman deritanya di sepanjang hidupnya yang tidak mengenal erti remaja. Hatinya terintai-intai dari dalam jeriji yang memenjarakan zaman anak-anaknya. Tindakan abang ipar dan kakaknya itu sama sekali tidak ubah seperti pekerti orang tuanya sendiri.

“Pada zahirnya Auntie kelihatan berjaya, Tsu-Ryi. Tetapi jiwa Auntie kosong dan penuh kelompangan yang sepatutnya diisi oleh kenangan-kenangan mesra lagi indah yang mendewasakan. Lalu Auntie didewasakan dengan teori semata-mata. Auntie tak mahu keceriaan Tsu-Ryi larut bersama kedewasaan yang terlalu awal buatmu, sayang…”

Bulat mata Tsu-Ryi mendengar pengakuan yang pertama kali diluahkan oleh Lettisia. “Auntie tidak punya kekuatan untuk mengukir takdir yang baru. Auntie juga tiada kesanggupan untuk menghadapi kesan tindakan itu nanti. Auntie cuma dapat melihat cita-cita Auntie dikebumikan tanpa bertalkin. Tapi Tsu-Ryi tidak begitu. Kau lebih kuat daripada Auntie. Masa remaja datang bertandang sekali cuma. Auntie mahu kau menghargainya.”

Tsu-Ryi menghela nafasnya dalam-dalam. “Auntie, tolong simpankan perintah injunksi ini.”
“Kau nak ke mana?”
“Pulang ke rumah.”
Lettisia menahan nafasnya.

“Saya ingin nyatakan pada mereka yang saya bukan tanah liat yang boleh dipicit dan dibentuk mengikut acuan mereka sahaja. Rebung ini juga boleh patah kalau dilentur dan direngkuh terlalu kuat. Saya akan ambil pakaian dan berpindah ke apartment Auntie petang ini.”

Lettisia melepaskan udara yang terperangkap perlahan-lahan. “Tsu-Ryi,” ujarnya sebelum gadis itu sempat mencapai tombol pintu. “Alas kata-katamu. Rendahkan suaramu. Tanpa mereka kau tak mungkin lakukan semua ini.”
Tsu-Ryi tersenyum dan mengangguk setuju.



Glosari :

1. Perintah injunksi :  Perintah penahanan terhadap seseorang daripada melakukan sesuatu yang boleh memberi kesan buruk kepada pemohon.

2. ex-parte               : Sebelah pihak sahaja. Pihak defendan tidak dipanggil semasa perbicaraan.

    KE CERPEN ON-LINE