Make your own free website on Tripod.com
 
MARISSA @ MERDEKA
oleh MAWAR SHAFEI, UKM


 

"SAYA ingin bebas, kanda."
Astagfirullah. Kata-kata Marissa, isteri saya, beberapa hari lalu itu
sebenarnya cukup membuat saya jadi sedat. Pada mula. Apa tidaknya.
Begitu punggung Marissa mendarat di kerusi kereta ketika saya
menjemputnya dari pejabat, itu yang diucapkan. Bergetar sungguh fikir
lelaki saya. Sama getarnya dengan jalur gemilang yang disambar pawana
petang; sempat saya lihat di hadapan bangunan masuk fakulti tempat
Marissa bertugas. Entah di mana silapnya saya sebagai suami atau
nanarnya jiwa isteri Marissa.

        Kata-kata Marissa yang pendek itu cukup membuat saya jadi
libang-libu. Marissa, seorang isteri yang baik. Sebelum-sebelum ini
sewaktu menjemputnya sebaik tangan saya disambutkucup, sebaris senyum
akan dihadiahkan buat saya. Tapi petang itu tidak begitu.  Apa yang
saya tahu hidup kami cukup bahagia, lebih-lebih lagi dengan diri
biologis Marissa yang sedang berbadan dua.

        Tetapi sebenarnya apa yang terjadi di sebalik itu. Ah, atau
bagaimana jika saya mulakan kisah Marissa, isteri saya itu dengan
baris-baris puisi pendek yang saya terima terselit di saku e-melnya
buat saya pagi ini (saudara tidak tahu, betapa setiap pagi, buat saya
ada saja baris-baris ucap cinta di laman e-mel saya daripada
Marissa!).

        Nah, begini bunyi e-mel Marissa,
                        Kanda,

                        ini puisi Leonid Zavalniuk yang berjudul
"Maka Tuhan
                         Bertanya", antaranya berbunyi,

                        - Engkau mahu apa? Boleh saya berikan
                        - Apa sahaja?
                        - Apa sahaja.

        Kanda, maka diberi Tuhan akan segalanya. Kemudian diseru
dengan suara hati cemburu. Tuhanku, tolong berikan saya apa yang
dimiliki   orang yang tidak berada! Jawab Tuhan, ini bukan hak saya.
Mintalah kepada mereka.

        Kanda, saya menangis. Rendahnya diri manusia itu sebenarnya!
 
 

        Saya dapat membayangkan betapa air  jernih mula bergenang di
daerah kecil mata coklat milik Marissa.  Lalu dengan perlahan-lahan
jatuh pula di tebing pipi Marissa yang putih. Setahu saya Marissa
merupakan perempuan yang cukup akrab dengan airmata; kehidupan
awalnya
begitulah. Cukup sarat dengan airmata. Inilah fragmen-fragmen kisah
isteri saya.
 

Kisah I

        "Saya kecewa, Kanda. Makna diri yang sewajarnya punya rasa
bebas, rasa merdeka, tiba-tiba diragut hebat. Saya tidak lagi
mengerti
sebenarnya. Fakulti menerima surat daripada panel, sub persembahan
teater tradisional sempena Hari Merdeka Negara saya diarah dihentikan
serta merta. Saya dikata membaurkacau seni lama - hanya itu
sesungguhnya. Kanda, saya masih berpegang pada horison kepercayaan
lalu dan langsung mentakrif dengan segala yang terjadi pada hari ini.
Makna negara yang sedang memanjat multi dalam segala-gala, mesra
dalam
bersaudara, yakin dalam  pelbagai dimensi iklim dan suasana, dan apa
lagi?  Segalanya ingin saya rakamkan sebagai apresiasi dalam pecah
cerita. Lewatnya juga ingin saja saya tempelkan sama cerita Dewa
Multi
yang berjaya membawa puranya ke puncak alam. Tetapi sebaliknya saya
hilang rasa merdeka untuk berkarya! Atau adakah sebagai seorang yang
asing daripada mandala seni lama milik khazanah bangsa Kanda,
kebebasaan saya itu diragut hebat? Hah!"

        Dan saya kian tersaring rasa hilang bebas Marissa  apabila
sekarang ini saya sedang menantinya di luar kamar Maternity. Di sisi
siku lorong hospital persendirian ini, saya ditemani suara Marissa
yang sejak akhir-akhir ini begitu mengganggu sebenarnya. Dan suara
itu
malangnya sedikit mengganggu kandungan Marissa. Semoga segalanya
selamat, pinta saya.

        Rupa-rupanya pada kesempatan inilah saya kian menyeluk dalam
rasa hilang bebas isteri Marissa. Saya tahu, ia bukan hanya bermula
dari penafian bikinan teater tradisionalnya itu. Segala-gala bermula
sejak dahulu. Ya, sejak dahulu di negara asal Marissa. Ah, saya
terlalu menyelak-nyelak sejarah. Namun fikir saya ia terlalu perlu
untuk tahu mengapa Marissa begitu. Mengapa isteri saya itu agak
mengocak rutin perasaan dan fikir saya, suaminya.
 

Kisah II

        "Darah kelahiran saya tumpah di bumi yang turut menjadi milik
Maxim Gorky, Vladimir Mayakovsky atau Alexander Solzhenitsyn."
Suara
Marissa buat pertama kalinya saya dengar. Ia kurang lebih setahun
lalu, sewaktu saya dihantar fakulti memberi  kuliah singkat dua
minggu
di Universiti Linguistik negara asal Marissa. "Saya ingin sekali
melihat tuntutan terhadap keresahan serta harapan rakyat
dimerdekakan.
Lewat "Universitasku" dan "Ibunda", Gorky dalam Tales
of Italy begitu
menggetarkan suara hati bebas saya."

        "Kehidupan kami yang awal begitu menjerihkan. Di daerah
pengungsian Stalingrad, papa menjadi buruh di ladang kolektif dan
lombong arang batu di Donbass. Malangnya selepas itu untuk
menyelamatkan  maruah negara, papa terkorban sewaktu menjadi tentera
di Timur Jauh. Hah, begitulah harga kebebasan buat kami.  Begitulah
harga diri manusia buat kami. Segalanya begitu dituntut. Segalanya
menjadi wajar diturut."

        "Say insaf. Betapa setiap manusia itu memiliki makna dirinya
sendiri. Begitu dia keluar dari kantung peribadi ibunya setelah
kurang
lebih sembilan bulan akrab bergantung, dia memerlukan dirinya
sendiri.
Setiap inci janjinya kepada Tuhan sebelum ini dengan tag nama diri
sebagai  nutfah, `alaqah dan mudghah, hah, perlu saja membikin
diri
serta nurani yang fasih kemudiannya dengan tag nama baru
"merdeka" dan
"kita serupa". Masih ingat kita semua dibikin daripada
nutfah. Hello,
kita serupa, kan? Dan atas tag itu juga kemerdekaan tidak perlu
disiakan, sehingga makna diri manusianya tergadai dengan harga yang
amat murah."

        Serentak itu, saya turut menyenangi jiwa bebas yang  Marissa
harap-harapkan. Segala inci sejarah awal kehidupan Marissa dan
keluarganya begitu membuat saya sedar. Penjajahan jiwa dan fikiran
sesungguhnya akan terus berentetan sehingga bila-bila selagi jiwa
bebas alias merdeka itu yang kita cicirkan dari saku peribadi yang
sebenarnya selama ini rabak, selama ini koyak. Saya tersedak. Ah,
selama ini terlalu banyak yang saya ketepikan.  Orak-arik pengorbanan
kemerdekaan negara kelahiran saya, begitu jarang diperhatikan. Begitu
jarang memberi kesan.

        Dan genap dua minggu usia saya mengenali Marissa, akhirnya
Marissa Gabrielian Abdullah bersama saya pulang ke Malaysia.

Kisah III

        "Kanda, saya ingin bebas. Merdeka. Dan saya selalu berdoa
kepada Tuhan agar zuriat kita ini turut dibikin dengan siratan
kapilari kebebasan sempena kelahirannya pada Hari Merdeka Negara.
Moga-moga anak ini mengerti makna diri merdeka. Agar dia dapat
memaknakan hidup ini sebagai  hamba hanya kepada Tuhannya. Dan
kemudian daripada itu hidupnya sebagai manusia merdeka tidak disiakan
dengan menjadi manusia peminta tanpa dapat memberi apa-apa kepada
Tuhan, negara dan bangsanya.  Amin."

        Wahai, isteriku Marissa, semoga ia menjadi sesuatu yang
terbaik buat ahli keluarga baru ini. Saya sering mengusapsayang rasa
pada kandungan Marissa yang sebulan dua ini genap usia ranumnya.
Namun
saya segera teringat kata-kata ibu saya, sebaik saja ibu mengetahui
Marissa terlibat dalam pembikinan sub persembahan Hari Merdeka Negara
itu.

        "Buka panggung, jangan lupa. Pesan ibu untuk Marissa. Penggawa
perlu dimohon izin. Semoga semuanya selamat."

        Saya senyum bahagia.
        Marissa juga mengerti betapa konotasi penggawa yang
dimaksudkan ibu itu ialah tidak lain hanya Allah yang Maha Besar.
Bukan yang lain daripada itu. Ya, Allahu Akhbar!
 

Kisah IV

        "Lagu Bertabuh diikuti dengan Bertabik akan cukup harmoni
diadun untuk membuka lawang acara. Di hadapan rebab bersama gendang
ibu, gendang anak, tatawak, canang, serunai dan kesi, Sang Pak Yong
Turun akan mengiringi gendang yang menukar suasana.  Menghadap Rebab
kemudiannya akan turut dilagukan sebagai mukadimah acara akan
bermula.
Sebelum kisah Dewan Multi dilanjutkan dalam pecah cerita, peran tua
dan peran muda turut di sisi penggesek rebab."

        "Kanda, cerita diadun begitu mesra seperti bersatunya bumbu
persembahan bertih, beras kunyit, tiga piak sirih pinang, air bunga
melur. Alangkah indah melihat secara halus dan berseni kehidupan
manusia multi negara kita yang tidak pernah lalai menghargai jiwa
merdeka mereka."

        Begitulah menurut Marissa, acara itu akan dipersembahkan
sehingga tutup panggung. Saya dengan sedikit sedu, persis ingin
mencium pangkal dahi Marissa yang selalu terasa dingin  walau dialas
selendang  milik jiwa merdekanya. Ah, Marissa!
 

    KE CERPEN ON-LINE