Make your own free website on Tripod.com
 

CITRA TIDAK
BERAKHIR DI SINI
oleh
HASYUDA ABADI

1962.

Orang ramai berpusu-pusu menuju bandar. Ada yang sedang menjangka-jangka meninggalkan bandar. Ada juga yang cuba mencari tempat perlindungan. Stesen keritapi, bas awam dan kenderaan lain dikerumuni orang ramai walaupun hakikat terjadinya konfrantasi yang dikhabarkan melalui radio belum begitu jelas. Apatah lagi bandar ini jauh dari sempadan negara jiran. Tetapi kecurigaan mereka membuak juga apabila melihat mata-mata berada di sana-sini. Keanggotaannya pula telah bertambah berbanding sebelumnya.

Pemergian Salim bagaimanapun bukan disebabkan keadaan yang berlaku ketika itu. Bekerja sebagai penyampai maklumat, Salim lebih banyak didedahkan latar belakang dan kedudukan yang sebenar. Sebab itu Salim tidak terlalu risau. Yang penting, Salim harus pulang  sekarang untuk menyampaikan suatu maklumat penting kepada orang yang Salim sanjungi. Khabar gembira ini mesti dilaksanakan segera sebelum terlambat.

Apabila tiba di destinasi yang dituju, Salim mesti menemui Tok Wah. Pasti. Sudah tentu Tok Wah terperanjat dan bangga. Melihat Salim pulang semenjak beberapa lama menghilang tanpa berita dan  pasti, dia merasakan sesuatu penghargaan yang tidak diduga-duga dengan hati yang terbuka.
Sewaktu-waktu Salim terkenang tentang Tok Wah yang semakin lanjut dimamah usia itu. Setidak-tidaknya dia masih berpeluang hidup lebih lama. Lebih banyak yang dialami. Lebih banyak kisah silam yang akan di ceritakannya.

 Seingat Salim, Tok Wah tinggal dalam pondok di tepi belukar Sri Menanti, kampung halaman Salim di pedalaman dan tidak jauh dari rumah keluarganya. Dia tinggal sebatang kara. Tiada saudara mara. Saudaranya hanyalah orang-orang kampung yang sudi mendengar ceritanya. Tentang perjuangannya di masa silam. Dia juga tidak serik-serik bercerita tentang penjajah Barat.

Seminggu sekali dia ke puncak bukit sebelah selatan belukar Sri Menanti. Temannya hanya sebilah pida. Beberapa hari dia berada di sana. Kemudian balik membawa beberapa keperluan hariannya seperti beras, gula dan garam.

Tok Wah tidak banyak bercerita apabila ayah bertanya.
Tok Wah suka bercerita. Dia mewadahkan cerita rakyat. Dia wadahkan juga cerita perjuangan. Kebangkitan pejuang-pejuang peribumi menentang penjajah juga diceritakannya. Bukan pada Salim saja tetapi pada orang lain terutama kanak-kanak seperti Salim. Kadang-kadang ibu juga turut mendengar sama. Ayah sesekali. Ayah lebih gemar mengail di kuala jika kelapangannya masih ada. Bila banyak ikan mengena, Tok Wah tidak dilupakan. Kami sama-sama berjuadah. Tok Wahpun pernah memasang lukah bersama ayah di parit besar di bawah bukit Gundul, bukit yang Salim geruni. Ibu kata di situ ramai hantu gondol. Kata ibu lagi, di bawah bukit itu ramai orang Dayak mati terbunuh.

Tok Wah adalah orang yang Salim hormati walaupun keadaan dirinya tidak seperti orang lain. Tidak terurus tetapi berdisiplin. Apabila Salim hendak berangkat ke Api-Api kemudian menyeberangi Laut Cina, Tok Wah berpesan. Pesan yang tidak pernah luntur dari bibirnya yang nipis di salut misai tebalnya.

Katanya, perjalanan merupakan jambatan yang menghubungkan jiwa dan tindakan. "Seharusnya kau membina jambatan, bukan merobohkannya tanpa sebab. Walaupun beralasan kau mesti permudahkan hadangan-hadangan yang bakal kau hadapi esok dan hari-hari yang mendatang," Tok Wah menghadiahkan aku dengan doa dan semangat perjuangan.

Pesan Tok Wah amat berkesan sekali semasa berada dalam hutan ketika menyertai gerakan MPAJA semasa kependudukan Jepun di Malaya.  Memang berat perjalanan itu. Kehidupan yang benar-benar hidup ini memberi cermin yang jelas bagaimanakah wajah perjalanan Salim. Salim berfikir, inikah juga kehidupan hidupnya Tok Wah?

II.

"SALIM nak jadi pujangga Pakcik. Salim nak karang cerita yang bagus-bagus macam Munsyi Abdullah," kata Salim suatu hari apabila Tok Wah bertanya tentang cita-cita. Zaman kanak-kanak adalah waktu di mana bermulanya impian-impian hari depan. Pada waktu itulah kanak-kanak seperti Salim diajukan pelbagai andaian semasa dewasa kelak. Dan Salim memilih pujangga.
"Salim mahu karang cerita macam Syed Shiekh Al-Hadi," sambung Salim dengan ungkapan yang patah-patah ketika menyebut nama-nama agung yang pernah diceritakan, malah mendengar kisah yang dikarang oleh mereka, melalui guru Salim  yang berasal dari Pasai.

Tok Wah pula selalu mendondangkan Syair Siti Zubaidah dan Dandan Setia. Tok Wah mewarisi cerita-cerita itu daripada arwah ibunya yang mati semasa dalam pelarian mereka dari Kampung
Tibabar suatu waktu dulu.
"Selepas itu apa lagi?" Tok Wah tersengeh menampakkan giginya yang besar-besar dan jarang.
"Salim nak merantau macam Pakcik. Salim nak..nak.." ungkapan Salim terhenti seketika untuk berfikir. Kemudian menyambung," Salim nak masuk hutan lawan penjajah!"
"Penjajah?" Tok Wah menggaru-garu kepalanya yang semakin kemarau rambut.
"Guru Salim pernah kata lawan penjajah bagus. Kita mesti hidup bebas. Kenapa Pakcik terkejut? Kawan-kawan Salim juga suka jadi pahlawan menentang penjajah. Guru Salim pernah jadi gerila menentang Belanda di tempatnya," ujar Salim. Tok Wah tidak berkata apa-apa.
"Gerila tu apa, Pakcik?" Tanya Salim kemudian.
 
Tok Wah tersentak. Sambil gelak, dia membetulkan keadaan duduknya dan mengusap rambut Salim yang mula mencecah dahi.
"Kau masih kecil Salim. Jika sampai masanya nanti Salim tahu juga," Tok Wah menatap wajah Salim dengan penuh wibawa. Salim juga menatap wajahnya yang mempunyai kesungguhan apabila berbicara. Salim menatap parut-parut di tepi dahinya yang luas, di bawah telinganya yang lebar dan pada badannya yang sudah mulai susut. Mulanya Salim hendak bertanya lebih lanjut tetapi Tok Wah cepat-cepat memeluk Salim. Salim tidak mengerti tetapi itulah kelaziman Tok Wah bila bersama Salim.

Ibu tersenyum bila memandang mereka berdua. Tok Wah melepaskan pelukannya kemudian ibu menyuruh Salim pulang dan menjemput Tok Wah makan malam bersama-sama.
Keanihan yang ada pada Tok Wah tidak dapat Salim telaah benar-benar kecuali bila Salim masuk ke gerbang remaja dan mula mengerti segala-galanya. Orang-orang kampung kata Tok Wah seorang yang anih. Ini Salim dengar bukan sekali bahkan berkali-kali, beratus-ratus kali semenjak Tok Wah berada di sana. Namun, yang jelas Tok Wah seorang lelaki yang baik, pendiam dan suka menyendiri tetapi ramah pula apabila bercerita.

Kepada keluarga Salim, Tok Wah banyak bercerita tentang kezaliman, penganiayaan dan sikap tamak orang-orang Barat. Tok Wah mengisahkan bagaimana kedatangan Inggeris di kampung halamannya dekat Tibabar. Orang-orang kampung termasuk ayah dan abangnya juga adik kembarnya bangun menentang. Tetapi mereka gugur. Beberapa orang tali barut Inggeris telah menyiksa dan membunuh apabila orang-orang kampung gagal menyerahkan cukai yang tidak pernah diadakan selama ini.

 Ibunya selamat. Tok Wah juga terselamat tetapi jiwanya telah mengenal makna kekejaman dan penindasan. Jiwa halusnya mengenal siapa penjajah, siapa bangsa yang bertamadun dan siapa bangsa yang berperibadi mulia.

 Sejak itu juga Tok Wah mengenal orang-orang Barat sebagai musuhnya. Tok Wah benci kepada penjajah dan penjajahan. Sampai Salim menjangkau usia enam belas tahun Tok Wah masih tidak berubah. Ceritanya sama sehingga Salim juga turut membenci mereka. Entahlah, rupa-rupanya segala  cerita Tok Wah memberi kesan dalaman yang membawa keinginan-keinginan untuk berhadapan dengan orang-orang yang telah merampas kasih sayangnya. Penjajahan telah merampas kasih sayang kekeluargannya. Kematian telah mengasingkan belaian mesra yang diingininya.
 Dunia mereka yang suci murni dan bebas kini telah diubah oleh tamadun yang amat anih daripada kebiasaan. Apabila gergasi barat itu kembali menguasai Malaya dengan rancangan Malayan Unionnya dan British Colony di Borneo Utara, sistem birokrasi turut mengalami perubahan yang sama.

III.

SEPERTI biasa selepas membersihkan kaki dan tangan Salim merapati Tok Wah sambil memegang buku yang dipinjaminya dari guru. Sambil membaca Salim melukis.

Tok Wah terpandangkan buku yang terletak di hadapan Salim. Dia segera mendapatkannya.
 "Dari mana Salim dapatkan buku ini?" Sambil membelek-belek helaian muka buku yang kelihatan sudah agak lusuh kerana kerap bertukar tangan.

Tok Wah sebenarnya buta huruf tetapi beberapa tahun yang lalu, dia belajar mengenal huruf  seperti yang  Salim pelajari dari guru di sekolah pondok.
 "Guru Salim," balas Salim pendek. Salim diam. Tok Wah juga tidak berkata apa-apa tetapi dia amat tertarik dengan gambar-gambar yang terdapat dalam buku itu. Salim faham Tok Wah tidak boleh membaca.

"Ini siapa lukis?" Tok Wah memecah keasyikan Salim sambil menunjuk gambar seorang pahlawan yang yang tiru dari buku itu. Buku Sejarah Borneo Utara.
"Inilah Mat Salleh," jawab Salim separuh bangga. Seingat-ingat Salim sudah lebih lima kali lukisan itu tidak menjadi.

 Tok Wah mendagu. Ternyata wajahnya sekilas berubah. Salim tidak menaruh wasangka yang bukan-bukan terhadapnya kerana Tok Wah memang seorang yang anih.

"Begitu rupa dia Pakcik?" Salim cuba merubah kemurungan Tok Wah. Tok Wah masih leka membelek-belek buku, kalau-kalau masih ada gambar serupa, walaupun hanya lukisan, kemudian dia melangut di suatu sudut pondoknya. Dia mematikan pandangannya pada tengkolok dan sebilah pidah yang tergantung rapi di atas dinding. Salim memerhatikan gelagat anih Tok Wah.

"Inikah rupa Mat Salleh, Pakcik?" Ulang pertanyaan Salim. Tok Wah memandang terpinga-pinga.
"Err..tidak," balasnya. Salim tertarik dengan jawapan 'tidak'nya. Salim membetulkan keadaan duduk dan ingin mendengar cerita Tok Wah selanjutnya. Mungkin ada rahsia lain di sebalik lukisan Salim.
"Kami panggil dia Datu Paduka. Dia lebih tampan, wajahnya sentiasa berseri. Datu Paduka patuh pada janji dan berani!" Perkataan 'berani' menyemarakkan semangat Tok Wah bercerita.

Jari-jemarinya dibukukan.
 "Datu Paduka?" Salim menggaru kepala. Belum mengerti.
 "Dia seorang pahlawan bumi bertuah ini. Pahlawan Borneo yang maha gagah dan perkasa. Malangnya dia sering ditipu dan dianiaya oleh Inggeris," mata Tok Wah mulai berkaca. Dia menghadangkan muka kepada hutan tidak jauh dari kampung. Dia seolah-olah memandang jauh seperti mengenang sesuatu.

IV.

DIA merasakan bahawa pelariannya merupakan suatu pertembungan perasaan serba salah. Dia masih terbayangkan keunggulan Paduka. Tercermin juga pada matanya yang bulat besar itu mayat ayah dan abang serta adik kembarnya. Juga, mayat rakan-rakannya yang berlumuran darah. Celaka Inggeris! Sebab itu dia menyertai Paduka apabila jiwanya mendesak untuk membalas dendam.

 Tetapi dia terpaksa lari dari dunia perjuangan itu.
Dentuman meriam dan rifle bagaikan halalintar membelah lembah Tambunan. Peluru seperti hujan memecahkan kemarau bertahun-tahun. Darah membanjiri bumi Tibabar setelah membanjiri Timbau, Lotud, Sukong, Piasau dan Toboh. Walau apapun keadaannya, kubu utama di atas bukit Tibabar itu masih kukuh. Pahlawan-pahlawan berjihad pantang menyerah begitu saja. Banjir darah bukan bermakna mudah tunduk kepada kemahuan penjajah. Banjir darah adalah simbol semangat yang menyinari kegagahan, keberanian dan demi tanggungjawab kepada warga bumi Borneo ini.

Ramai rakan-rakan Paduka gugur. Selain kerana terkena peluru senapang dan meriam, ramai mati kerana kebuluran. Sungai satu-satunya nafas mereka telah dihalakan Inggeris ke tempat lain.
 Tok Wah menyaksikan suasana itu dengan perasaan yang gerun tetapi dia harus mengekalkan semangat wajanya. Dia memerhatikan tindak dan tingkah Paduka yang tenang walaupun berada dalam keadaan yang segenting itu.

 Paduka tidak henti-henti memberikan perangsang kepada rakan-rakannya. Dia sentiasa membulatkan tekad perjuangan bukan sahaja untuk menundukkan penjajah tetapi demi menegakkan siapa yang berada di pihak yang benar. Walaupun satu demi satu gugur, Paduka merasa bangga kerana mereka mati bersebab. Dia juga akan mati untuk tujuan yang sama. Dia rela mati di saat berjuang untuk anak bangsanya kemudian hari.

 Timus dan Mat Sator merapatinya tiba-tiba. Paduka meluruskan badannya. Tangan kanannya menggenggam perut senapang patahnya dengan tegap.  Tangan kirinya pula mengusap ulu pidannya.
 "Kenapa?"
"Peluru! Simpanan kita hampir habis Datu Paduka. Syahbandar dan orang-orangnya baru saja masuk. Katanya, kubu mereka binasa!"
"Bagaimana?" Soal Mat Sator, risau.
 "Yang lain?"
 "Timus tinggal enam Datu Paduka," pintas Mat Sator setelah disigung oleh Tok Wah.
 "Yang lain?" Ulang Paduka, tenang.
 "Langkap dan Santara masing-masing sepuluh dan aku empat," Mat Sator menunjukkan senapang patahnya.

Paduka diam sejenak. Berfikir. Sesekali dia tersentak juga oleh dentuman bunyi meriam Inggeris yang diketuai Harrington. Dia cuba meminta buah fikiran rakan-rakannya tetapi dia tidak ada jalan lain.

"Baiklah, kamu bawa beberapa orang ke tempat isteriku. Ada sedikit peluru yang aku simpan di sana," Mat Sator mengangguk menerima arahan, kemudian beredar. Tok Wah berhenti apabila hendak melangkah.
"Ada apa Datu Paduka?"
 "Aku harap kamu tidak gentar berada dalam keadaan sekarang. Keadaan di sini tidak sama penentangan yang kami buat di Ranau dulu. Kita mesti menang. Jika tidak bumi ini akan binasa!" Ujar Paduka seperti menanam pasak keyakinan kepada Tok Wah.

 "Baik Datu Paduka," Tok Wah meneruskan langkahnya, terbongkok-bongkok kerana dentum meriam besar Inggeris mula mengena sasarannya.
 Menjelang malam suasana persekitaran berubah. Walaupun terdengar sekali sekala bedilan meriam dari sebuah bukit kecil tidak jauh dari kubu utama Paduka.

 Tetapi esoknya pertempuran berlaku lagi. Malah semakin sengit. Dalam suasana yang begitu menekan akibat butiran peluru juga serpihan peluru meriam, tiba-tiba Paduka terjelepuk jatuh. Darah mencucur dari keningnya. Mat Satur dan Timus yang berkubu tidak jauh dari situ segera mendapatkan Paduka. Ketika itu Paduka masih bersuara tetapi kemudiannya menyepi. Beberapa orang segera menyembunyikannya dalam kubu. Para pejuang yang lain meneruskan pertempuran.

 Kompeni mengasak. Polis-polis berketurunan Dayak, Benggali dan kaum-kaum tempatan yang belot terhadap Paduka, mara ke arah kubu utama. Oleh kerana asakan itu pejuang-pejuang yang tinggal meninggalkan kubu kecuali orang-orang yang cedera termasuk Dayang Bandang dan anak-anaknya.

 Tok Wah sempat melarikan diri tanpa disedari Kompeni. Dia nampak di mana meriam besar itu diletakkan. Dia ternampak Liuk. Wajah Tok Wah merah. Tok Wah berikrar untuk meneruskan perjuangan. Namun langkahnya terhenti tiba-tiba. Dia melihat dentuman meriam membakar setiap sudut kubu di bumi Tibabar itu. Satu demi satu tiang seri dan sudas yang runcing ranap. Kemudian perut kubu diratah-ratah hancur menjadi puing-puing yang amat mengesankan. Dan, apabila keadaan reda laskar-laskar Kompeni menyerbu kubu utama itu.

Sikap Tok Wah berubah. Ikrarnya lenyap. Dia berfikir. Antara perjuangan dan kebebasan atau kehidupan yang dihidupkan kelak, mana satukah yang harus dipilih? Tok Wah tidak dapat berbuat apa-apa. Mustahil termampu olehnya untuk menghadang kemaraan Kompeni yang sedang mabuk itu. Dalam suasana yang berbaur antara hiba, kemelut, gentar dan sepi, Tok Wah mengundurkan langkahnya seberapa jauh yang boleh. Pada saat itulah dia teringatkan ibunya. Dia berlari. Berlari dan berlari. Bila terasa olehnya bahawa pengawal-pengawal Kompeni melihatnya dia berlari lebih
pantas lagi. Dan, Tok Wah jauh dari bumi Tibabar.

V.

PASTINYA Tok Wah sudah tua sekarang. Sudah terlalu tua. Mungkin rambutnya sudah tidak tumbuh. Atau gusinya kecut. Pipinya juga barangkali sudah kerdut dimamah masa. Tentu apa yang Salim gambarkan ini sama seperti surat yang dihantar oleh Minda beberapa bulan yang lalu. Hasrat Salim pulang telah Salim khabarkan tetapi tidak menyatakan tujuan yang lain. Malah Minda tidak banyak menceritakan perihal Tok Wah, kecuali mengenai kematian ayah dan ibu di samping sedikit sebanyak tentang kampung halaman.

 Terlalu lama Salim tidak pulang. Hampir lima belas tahun. Tetapi jika dikira-kira sekarang, masa itu sesungguhnya terlalu singkat. Salim masih ingat selepas zaman darurat berakhir Salim tidak dapat kembali seperti yang dijangka. Paleng anak Sumpol, satu-satunya rakan dari Borneo telah mati ditembak pengganas komunis. Pada masa itu Salim dan Paleng sentiasa bersama-sama. Kumpulan kami terpaksa berpecah untuk menyelamatkan diri dari serangan komunis. Hanya kamu berdua selamat dan apabila Paleng mati, terkena jerangkap samar,  Salim telah ditawan oleh pengganas-pengganas yang  belot terhadap MPAJA.

 Salim hidup dalam dunia 'hutan'. Sebab itulah Salim dipenjarakan apabila darurat tamat. Dari Malaya Salim dipindahkan ke Borneo Utara. Di Jesselton Salim dibebaskan kerana pihak penjara berpuas hati terhadap sifat dan kelakuan Salim. Salim bekerja sebagai penjual surat khabar North Borneo Daily Post setelah lebih enam bulan tidak mempunyai kerja tetap. Betapa sukarnya mendapatkan pekerjaan di bawah pemerintah Inggeris. Kemudian tuan pemilik syarikat surat khabar tersebut menawarkan kerja sebagai reporter apabila membaca tulisan Salim mengenai peperangan.

Namanya Tuan D.Stephenson, rakyat tempatan kacukan Inggeris. Katanya dia tertarik dengan tulisan berbentuk adventure dan beranggapan bahawa Salim mempunyai potensi untuk syarikatnya.
 Salim mula teringatkan Tok Wah semasa bertugas dengan syarikat tersebut dan merangka-rangka menulis fokus perjuangannya semasa menentang penjajah. Salim beranggapan bahawa pahlawan adalah mungkin sesiapa sahaja, tidak semestinya ia seorang yang ternama. Walaupun mungkin sekadar seorang pengikut di belakang. Yang pasti, pahlawan mesti diberi penghargaan.

 Tulisan Salim telah mendapat tempat dan sambutan yang tidak diduga. Ketua Salim, Tuan D.Stephenson tidak henti-henti memuji dan menggalakkan supaya lebih banyak tulisan seumpama itu dihasilkan.

 "Tok Wah adalah jiwa Salim. Tok Wahlah yang menjiwai kewarasan dan kebenaran," demikian jawab Salim apabila rakan-rakan cuba mengkritik. Di samping bersetuju, ramai juga yang enggan menerima kenyataan apa yang tersirat. Kata mereka, seorang pengecut seperti Tok Wah yang mungkin ramai lagi manusia sepertinya, tidak perlu digembar-gemburkan. Apa lagi diberi penghargaan.

 Biar apapun, Salim harus menyampaikan berita baik itu kepada Tok Wah. Pembentukan Malaysia tidak berapa lama lagi akan diisytiharkan, seakan turut menghargai Tok Wah. Seperti mana semangat yang ditunjukkan oleh para pemimpin masyarakat terhadap penubuhan Malaysia menerusi Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia yang ditubuhkan di Singapura. Beberapa hari lalu, orang ramai asyik bercerita tentang Suruhanjaya Cobbold yang mengkaji pandangan-pandangan yang telah diberikan oleh mayarakat di Borneo Utara dan Sarawak menerusi para pemimpin parti-parti politik yang ada untuk mewujudkan laporan memperakukan beberapa perkara yang hendak dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia.

 Kenderaan Land-rover 12 penumpang berwarna kelabu gelap yang membawa Salim dari stesen keritapi di pekan betul-betul berhenti di hadapan sebuah pondok kecil. Ada beberapa tulisan jawi terpampang di atas sekeping papan di tepi pondok yang tidak berdinding itu: SELAMAT DATANG KE SERI MENANTI, bunyinya.

 Salim terkenang semula semasa kecil. Estet ini juga turut terkenal dengan pertunjukan-pertunjukan bangsawan dari Malaya dan Indonesia. Lebih dalam mengenang itu membuat keinginan Salim bertambah-tambah untuk menemui Tok Wah.

 Suasana Seri Menanti sudah jauh berubah walaupun belum merdeka. Semua berlaku kerana masyarakatnya bertanggungjawab, bekerjasama dan mengekalkan semangat berganding bahu. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Bagaimanapun, semua perubahan ini tidak penting. Hasrat Salim ialah menemui Tok Wah.

 "Pondok Tok Wah sudah tiada Abang Salim," Salim tersentak mendengar penjelasan Minda secara tiba-tiba. "Dan, abang tidak akan bertemu dengannya lagi!" Sambung Minda yang kulihat mulai terisak-isak. Salim bingung. Kemelut mulai melanda diri Salim. Saat itu Salim mahu bertanya lebih lanjut keadaan sebenarnya dari mulut Minda sendiri. Bukan suaminya. Bukan juga orang lain.

 Tidak sempat bertanya, Minda segera membawa Salim ke suatu kawasan sepi, berbatu pejal dan tanah-tanah bengkak di merata tempat. Minda memaksa Salim bila Salim enggan kerana belum mahu menerima kenyataan. Bagaimana berita baik ini? Tanya hati Salim. Penghargaan untuk Tok Wah mesti Salim sampaikan kepadanya. Salim ingin melihat Tok Wah ketawa walaupun yang pasti senyum dan gelaknya sudah tidak semesra dulu. Salim ingin mendengar ucapan apa saja darinya kerana cita-cita menjadi seorang Munsyi Abdullah atau Syed Shiekh Al-Hadi sudah tercapai.
"Inilah tempat Pakcik Tok Wah sekarang. Percayalah. Abang...Abang mesti percaya," Minda memeluk Salim dengan hiba sekali. Airmatanya bercucuran membasahi kemeja Salim. Salim merenggangkan pelukan Minda dan membongkok sambil mengeja nama yang terpahat pada batu pejal di atas tanah bengkak di hadapan kami.

 "Salim tahu abang marah kerana tidak mengkhabarkan semua ini," Minda turut membongkok dan mencapai rumput-rumput yang meliar di pusara Tok Wah. Salim memandang Minda."Tok Wah berpesan supaya abang tidak terkejut dan mengganggu. Tok Wah juga berpesan bahawa dia tidak perlu diingat sebagai pejuang. Katanya, dia bukan pejuang tetapi manusia yang tidak berguna.

Pengecut!"
"Kenapa begini lama. Minda? Setelah hampir lima belas tahun?"
 "Selang beberapa bulan selepas Abang meninggalkan kampung, Pakcik Tok Wah tidak balik semasa masuk ke bukit itu hampir tiga puluh hari. Suasana kampung ini berubah sejak ketiadaannya.

Entahlah, mungkin dia kehilangan. Orang-orang kampung mencari di merata tempat. Abang ingat tempat pertapaannya dulu, bukan?" Salim mengangguk.
 "Pakcik ditemui di situ?"
 "Tidak, sebenarnya Pakcik sesat. Ayah kata, dia seperti tidak percaya Pakcik Tok Wah boleh tersesat di 'rumah'nya sendiri. Rupanya Pakcik bercadang hendak meneruskan pertapaannya di puncak bukit Gundul. Semasa di usung pulang Pakcik masih bernafas tetapi dia pergi setelah tiba di rumah. Ayah kata, Pakcik bercerita semasa diusung," sambung Minda.
 "Tentang kezaliman? Penganiayaan? Peperangan?"
"Abang lebih memahami hatinya. Tetapi bukit Gundul itu mempunyai rahsia yang tidak mudah kita cari. Kecuali Pakcik Tok Wah sendiri. Selainnya tidak mungkin, termasuk kita - abang, gemulah ayah, gemulah ibu, Minda, suami Minda  atau semua penduduk kampung," Minda mengakhiri ceritanya di situ.

 "Pakcik Tok Wah!" Salim duduk melutut mengusap batu nisan yang terpacak teguh di situ sejak lima belas tahun lalu. Di sana-sini rumput mengerumuinya. Airmata Salim tidak dapat bertahan dalam tasiknya yang mula meriak. Minda membiarkan Salim yang sedang menghadiahkan Al-fatihah untuk arwah Tok Wah selepas berbisik untuk menziarahi pusara ayah dan ibu.

 Di udara sekali-sekala terdengar bunyi kapal terbang melintasi ruang udara Sri Menanti. Kanak-kanak berkeliaran ke sana sini sambil mengutip kertas-kertas yang disebarkan dari udara. Sekelip mata juga kapal terbang tadi hilang dari pandangan mata. Seorang kanak-kanak menyerahkan kertas yang dipungut dan Salim akui semangat ganyang yang disampaikan pemimpin negara asing terhadap penubuhan persekutuan Malaysia. Apakah konfrantasi benar-benar akan berlaku? Peperangan? Kekalutan mulai bermain dalam diri. Dan, cerita-cerita Tok Wah tidak berakhir di sini.

Kota Kinabalu,
Ogos 2000.
 

    Ke Cerpen On-Line