JA-HEI-LI-YA METROPOLITAN
OLEH FAISAL TEHRANI


 

PERINGATAN, anda sebagai pembaca diminta tidak terkeliru dengan apa
yang tidak penting. Ini ialah kisah perjalanan ke Ja-hei-li-ya. Sila
rujuk  "Caligula," Microsoft® Encarta® 97 Encyclopedia. ©
1993-1996
Microsoft Corporation. Ia tidak berkaitan sama sekali dengan sesiapa
hidup atau telah mati. Untuk lebih menikmati catatan pengembaraan ini,
anda diminta supaya ketawa sambil membacanya dengan kuat.
 Pokok tiba-tiba sahaja tumbang dan jalanraya bertol dua puluh lorong
bandaraya metropolitan Ja-hei-li-ya  macat. Perjalanan dua puluh minit
dari Lapangan Terbang Antarabangsa Caligula, negara Roman Ja-hei-li-ya
kini sudah jadi tiga jam. Saya  terperangkap di dalam teksi berhawa
dingin dengan meter sentiasa menambah angka bayaran. Sesekali mengeluh
kerana sengsara didera kesesakan begitu. Keadaan basah, jalanraya
licin, malah hujan masih menggerimis.
        Saya baru sahaja tiba ke Ja-hei-li-ya dengan pesawat Boeing
MAS 777,
penerbangan dua puluh tiga jam dari Kuala Lumpur amat meletihkan,
sekarang dengan pengalaman pahit dikepung lalu-lintas yang entah bila
akan reda, saya menyumpah-nyumpah di dalam hati. Saya sempat menatap
helaian-helaian pengenalan dalam buku panduan pelancongan Travelling
Around Ja-hei-li-ya In 7 Days:
        Ja-hei-li-ya, bandaraya terbesar di negara Roman Ja-hei-li-ya,
sebuah
kota metropolitan dengan populasi lebih empat juta manusia
bersendat-sendatan. Bandaraya terbahagi kepada empat bahagian yang
berselerakan dengan pelbagai jenis bangsa.  Ekonominya mantap,
walaupun diketahui, hanya Maharaja dan Perdana Menterinya sahaja yang
bising-bising ke seluruh dunia mendakwa begitu.
        Pemandu teksi  bertubuh sasa, dan lengan serta tangan berbulu
itu
merungut-rungut tanpa berbutir, ketara dirinya ikut rusuh dengan ekor
panjang kenderaan merangkak bagaikan kura-kura di tengah lebuhraya
menuju ke pusat metropolitan.
        Saya sekarang sedang berbual-bual dengan pemandu teksi ini,
untuk
mendapat gambaran lebih jelas mengenai negara Roman Ja-hei-liya yang
kecil kancil tetapi ada hati untuk berak gajah.
        "Sekarang mana ada senang lagi? Semua barang
naik…naik…naik…aku baru
kena saman ekor. Ini saman ekor gila punya…orang dalam kubur pun
boleh
kena saman. Semua mahu kutip duit juga banyak-banyak, dulu duit
banyak, dia orang bagi habis sana sini. Aiya, saham pun jatuh macam
buah durian.  Duit pun sudah sama macam duit Rupee juga…" pemandu
teksi mulai membebel.
        Saya tahu, kalau mahu jelas detak hati nubari sesebuah negara,
tanyakan pada pemandu teksinya atau duduk berjam-jam di kedai kopi
atau kafetaria, lebih nyata apa  sedang bergolak. Khabar yang didapati
di sini biasanya tiada fakta atau bukti boleh menyokong tetapi tetap
boleh dijadikan pegangan.
        "Siapa punya salah?" saya  menutup buku panduan pelancongan.
Dan
meraba kamera di dalam bekasnya , syukur masih bergantung di bahu.
Barang-barang lain dalam buntut teksi.
        "Ini semua Maharaja Caligula juga punya salah. Dia ini ramai
orang
kata gila. Dia gila kuasa, gila nama, gila masyhur, dia gila
macam-macam…susah mahu ubat oo." pemandu teksi ketawa pahit. Ada
radang berbancuh berang pekat tergaul dalam gelas hati. Serasa-rasa
tiada gula memaniskan.
        "Kenapa semua marah sama ini Caligula juga?" saya mulai
terikut-ikut
langgam bahasa pemandu teksi.
        Jawapannya  - ketawa -
        "Ini Caligula nama sebenarnya Gaius caesar, cucu Tiberius. Dia
dulu,
masa baru mula-mula naik jadi maharaja, dia sudah pungut satu budak
Gemellus tetapi aiya, banyak gaduh oo. Mula-mula dia suruh akhbar sama
tivi sama radio cakap bohong, cakap mereka geng baik, tak ada
gaduh-gaduh. Tapi lepas itu dia tendang ini budak jauh-jauh…bagi
bunuh
terus!" ketawa terus meningkat. Hon berganti-ganti dan si pemandu
teksi ikut sama dalam kegilaan pesta hon. Kereta belakang dan
kenderaan lain turut menyumbang hingar-bingar. Baru saya sedari, hujan
sudah berhenti dan sinaran mentari mulai menyimbah-nyimbah. Ada
pelangi melengkung tujuh warna amat mempesonakan.
        Honk! Honk! Honk! Honk! Honkkkkkk!
        "Bunuh?"
        "Aiya, apa mahu hairan, dia kalau mahu bunuh…satu kampung pun
dia
boleh bagi bunuh…hantar askar…hantar polis tembak semua kasi
mati.
Nanti dia pakat sama semua hakim bagi kenyataan akhbar kata Caligula
betul."
        Saya telan air liur. Rasa takut pula beranak-pinak. Sekejam
itukah
Caligula?
        Pemandu teksi menghulurkan naskah akhbar.
        "Tengok sama head lines ini suratkhabar."
        Saya menyambut akhbar yang diserahkan. Tulisan sanskrit
bengkok lurus
menyakitkan mata. Judulnya: I Love Myself- Caligula. Saya membaca
sedikit laporan ditulis dengan cara menjulang-julangkan kebaikan
Caligula itu:
        Maharaja Caligula meneruskan lawatan singkat tetapi padat
ketat ke
Amerika Latin minggu ini. Presiden Carlos Menem dilaporkan mengiringi
Maharaja Caligula untuk meninjau kuda yang diberi dalam lawatan
baru-baru ini sudah melahirkan anak atau belum. Dalam suatu usaha
meyakinkan para pelabur, Maharaja Caligula dalam sebuah sidang media
ditanyakan, siapakah pemimpin  paling beliau kagumi. Beliau telah
menjawab - Saya kagumi diri saya sendiri - beliau dilaporkan menambah
kata-kata - I Love Myself - lalu diberi tepukan bergemuruh. Ini adalah
kali keempat Maharaja Caligula ke luar negara dalam tempoh sebulan
dengan alasan mencari jalan untuk memulihkan keadaan ekonomi yang
tenat dan lesu ini.
        Saya menarik nafas panjang, terkejut dengan laporan akhbar
sedemikian
rupa. Begini bunyinya akhbar di negara Roman Ja-hei-li-ya yang gah
seantero dunia ini? Apa pentingnya berita maharaja mengaku hebat itu?
Kadang-kadang  berasa lucu pula. Saya memulangkan semula akhbar
tersebut.
        "Ini negara banyak kaya, banyak duit…kita punya Maharaja reti
habiskan duit sepanjang masa."
        "Apa dia sudah buat?" saya terus mencungkil.
        Kebetulan kami sedang melampaui sebuah bangunan seribu tingkat
berkembar dan ada penghubung pula di tingkat lima ratusnya. Unik dan
mewah. Nampak agam.
        "Ini bangunan berkembar, dia punya batu nisanlah…" pemandu
teksi
berdekah-dekah.
        "Lagi?"
        "Wah, dia ini banyak suka sama hiburan…juta-juta,
billion-billion
semua habis enjoy…tiap-tiap malam ada konsert. Mahu tengok
apa…saya
bawa awak ke stadium. Ini malam wah, ada penyanyi dangdut
nyanyi…semua
orang muda dia bagi ini macam juga…semua khayal lupa juga sama
duit
jatuh, sama dia bikin harta, sama dia bunuh orang…kalau orang tak
ada
suka, dia tangkap hantar jel oo. Banyak takut!" pemandu teksi lebih
bersungguh-sungguh. Teksi mulai lancar setelah menempuh lebuhraya dua
tingkat menuju ke pusat bandaraya metropolitan.
        "Kita punya Perdana Menteri nama Abu Jahal…aiya dia banyak
jahat
juga, orang bunuh anak lepas romen-romen pun dia buat tak reti juga.
Ini kabinet hah, semua penuh orang gila juga. Hari itu ahh, dia mahu
tangkap sama Imam Malsi."
        "Siapa?"
        "Ini Imam Malsi  orang banyak pandai…perangai baik oo. Dia
selalu
nasihat sama Maharaja Caligula ini. Itu hari, maharaja sudah declare
lagi yang dia itu Tuhan…aiya susah woo, kalau orang gila bagi
pegang
negara."
         "Awak tak takut ke cakap ini macam…nanti kena jel?"
        "Aiya, orang gila juga bagi jel orang tak berguna  macam gua
ini."
pemandu teksi bermata sepet tetapi hitam manis itu menggeleng-geleng
kepala. Sakit hati sakit perut sakit kepala sakit mata sakit telinga,
sakit semua anggota - hidup di bawah pemerintahan maharaja sakit otak.
        Teksi mulai meredah bahagian tengah pusat metropolitan
Ja-hei-li-ya.
Terdapat bangunan-bangunan tinggi megah berdiri. Malah
bangunan-bangunan sedang dalam pembikinan lebih berlumba-lumba tegak.
Saya melemparkan pandangan ke luar. Kelihatan gadis-gadis semua hanya
berbikini atau paling tidak berkemban. Jari telunjuk pemandu menuding
ke arah himpunan bangunan berceracak bagai besi-besi tertancap di
tanah.
        "Ini semua anak beranak dia punya. Dia ini kalau dia benci,
anak dia
lawan sama dia pun dia boleh bagi bunuh. Semua orang mesti cakap dia
betul, kalau kata dia salah alamat nak mampus." pemandu teksi merah
padam, telinganya panas berbahang bahkan asap nipis perlahan-lahan
keluar dari lubang telinga. Memang dia bengang, fikir saya.
        "Perempuan semua suka telanjang. Orang kalau marah perempuan
telanjang ini, hantar jel...kalau ada orang baik macam kawan-kawan
Imam Malsi itu, semua dia pecat. Ini negara banyak pelik oo, kalau apa
Maharaja Caligula buat ada betul juga. Kalau berani
lawan…aiya…takut!"
        Luka dan resah rupa-rupanya warga Roman Ja-hei-li-ya.
        "Kenapa tak lawan?"
        "Aiya  mulut banyak cabul. Kalau kena tangkap macam-macam jadi
oo.
Tapi hah gua dengar ada dia punya orang kuat dulu juga mahu kasi dia
jatuh juga. Konspirasi hah, orang selalu kata. Sekarang negara banyak
susah, semua pakai banyak duit juga. Tapi semua orang sayang juga
dengan ini Maharaja Caligula. Kalau Roman Senate minta calon ganti,
semua tak berani oo."
        "Sebab apa tak berani?"
        "Perutlah wooo. Boleh bagi buncit korek semua harta ini
negara. Duit
orang kerja simpan dalam tabung ramai-ramai pun dia boleh ambil tak
bagi tahu sama orang. Dia kata dia mesti tolong ini syarikat, atau ini
orang sebab kalau tak bagi tolong nanti lagi susah. Tak ada orang
marah pun. Kalau kita bagi tahu sama orang supaya hati-hati, orang ini
marah sama kita balik: Caligula bagus!"
        Tahulah saya sedikit sebanyak, ramai warga Ja-hei-li-ya yang
meluat
menyampah dengan maharaja mereka.
Teksi tiba di hadapan Hotel Ja-hei-li-ya Metropolitan.
        Saya turun membayar duit, melambai tangan kepadanya dan
melangkah
masuk ke dalam bangunan hotel mewah berhias indah. Saya menginap di
sini selama seminggu dan menempuhi sejenis pengalaman jahiliah yang
tidak tergambar lagi dahsyatnya!
        Sekarang saya merujuk semula dengan bahan bekalan Microsoft
Encarta
Encyclopedia.
        Caligula, real name Gaius Caesar (12-41), Roman Emperor
(37-41), born
probably in Antium (now Anzio, Italy), the youngest son of the Roman
general Germanicus Caesar and the grandnephew of the Roman emperor
Tiberius. His early life in military camps earned him the nickname
Caligula (Latin, "Little Boot") because of his small military shoes.
Tiberius named his grandson, Tiberius Gemellus, and Caligula joint
heirs to the throne, but the Roman Senate and people chose Caligula as
sole emperor. Caligula adopted Gemellus as his son but later had him
murdered. A clement ruler for the six months, he became a vicious
tyrant after a severe illness. Historians believe that he probably
went insane. He squandered his fortune on public entertainment and
building projects; banished or murdered most of his relatives; had
people tortured and killed while he dined; made his favorite horse a
consul; declared himself a god; and had temples erected and sacrifices
offered to himself. In 41 the officers of his guard formed a
conspiracy against him, and he was assassinated.
        Saya berada tujuh hari menjelajah seluruh kota Ja-hei-liya dan
merasa-rasa hakikat sebenar bandaraya ini. Saya pulang semula ke Kuala
Lumpur dengan pesawat MAS 777 selepas seminggu, dengan perasaan lega
tidak diapa-apakan. Dalam perjalanan pulang, sesekali diganggu
hidangan yang ditatang pramugari dan pramugara, saya menulis mengenai
Catatan Seminggu di Ja-hei-liya. Sekiranya anda bersabar sedikit,
barangkali anda akan dapat membaca dan mengikuti seminggu pengalaman
ngeri saya itu di media tempatan kelak.
 

Tamadun Januari 1998. 
 

  KE CERPEN-ONLINE