Make your own free website on Tripod.com
AWAL

         

KAWAN
     Oleh:  Arisel B. A.

                 Memulakan sesuatu tugas atau tanggungjawab memang didapati sukar. Terutama  bila sesuatu tugas dan
                 tanggungjawab itu tidak dipraktikkan sekian lama.  Kali terakhir cerita yang ditulisnya tersiar sekitar bulan
                 September, 1996  dalam sebuah akhbar tabloid mingguan. Lima bulan sebelum itu dia telah tidak  menulis
                 lagi. Ini bermakna bahawa dia mula memberhentikan menggauli alam  sunyinya sejak Mei, 1996. Dan kini
                 bagi memulai tugas dan tanggungjawab seni  kreatif itu memang sukar baginya.

                 Kini dia cuba memulai semula tugas dan tanggungjawab yang diberhentikan  selama 24 bulan itu. Setiap
                 hari mulai awal tahun dia mengadap PC-nya.  Malangnya hasil penulisannya masih belum menampakkan
                 kesiapannya. Banyak isu  yang boleh ditulis. Suasana negara dalam kegawatan ekonomi. Aktiviti
                 rakyat  yang serba tidak kena. Nilai ringgit jatuh merudum. Harga barang-barang  mulai mahal. Wabak
                 inflasi dan deflasi. Pemotongan belanjawan Kerajaan  mahupun pihak Swasta. Gelagat pendatang tanpa
                 izin. Jenayah kecil, jenayah  besar. Rompak. Bunuh. Kemarau. Kebakaran. Catuan air. Kolam takungan
                 najis  mulai kering. Malangnya dari terlalu banyak isu dalam tabung mindanya, dia  gagal dicerna untuk
                 dijadikan cerita.

                 Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu.  Buntu. Sinonim dari kata
                 buntu cukup meresahkan. Merimaskan. Tersekat. Putus  asa. Putus akal. Habis akal. Hilang akal. Habis
                 ikhtiar. Pepet. Buntet.  Tertutup  Menyusahkan. Dia buntu dengan mainan kata-kata itu. Dia
                 lalu  menutup suis Komputer Meja dan memasuki alam sunyi untuk mencari  Khattam-Shud.

                 Tulis Salman Rushdie dalam dongengnya, Haroun and the Sea of Stories,  mengatakan bahawa
                 Khattam-Shud itu adalah Paduka Kebisuan yang mengerikan  lalu berkata: “ Cerita hanya membuat
                 kacau. Sebuah Lautan Cerita adalah  sebuah Lautan Kekacauan”. Ungkapan Salman Rusdie itu amat
                 menakutkannya, Dia  tergiang-giang ungkapan yang mengerikan itu. : “ Cerita hanya membuat
                 kacau.  Sebuah Lautan Cerita adalah sebuah Lautan Kekacauan”. : “ Cerita hanya  membuat kacau.
                 Sebuah Lautan Cerita adalah sebuah Lautan Kekacauan”. : “  Cerita hanya membuat kacau. Sebuah
                 Lautan Cerita adalah sebuah Lautan  Kekacauan”. : “ Cerita hanya membuat kacau. Sebuah Lautan
                 Cerita adalah  sebuah Lautan Kekacauan”. : “ Cerita hanya membuat kacau. Sebuah Lautan  Cerita
                 adalah sebuah Lautan Kekacauan”.

                 Benarkan begitu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu.  Buntu. Buntu. Buntu. Buntu.
                 Buntu. Tersekat. Tapi belum putus akal atau  habis akal atau hilang akal. Masih ada ikhtiar. Belum lagi
                 pepet atau  buntet. Masih ada harapan untuk memulakan satu permulaan. Untuk menulis awal  sebuah
                 cerita perlukan ketabahan, kata hati kecilnya, sendirian dan sunyi.  Dia gagal menemui Khattam-Sud,
                 Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu.  Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu

                 Dia tergiang-giang akan suara Danarto, “ Apapun yang ditulis, cerita  sebenarnya hanya omong kosong.
                 Kenapa ia ditulis terus? Kerana ada saja  orang yang ingin membaca perihal omong kosong. Dan itu
                 sedikit banyak  mendatangkan kegembiraan. Asal masih saja bergembira, itu sudah cukup...  Kerana
                 masih ada orang yang mahu membaca sekadar omongan.  Mungkin dari  omongan ini boleh melahirkan
                 pelbagai rasa yang berbeza.  Apa yang penting,  jika ada yang merasa geram atau lucu atau gamblang”.

                 Tiba-tiba mendesing suara Putu Wijaya, “ Sebuah cerita adalah bagaikan  sebuah mimpi baik dan mimpi
                 buruk.  Tidak terlalu penting urutan, jalinan,  kerana kadang-kadang ada dan kadangkala tidak. Yang
                 utama ialah perkhabaran  yang dibawanya, daya pukau, daya magis, tamsil, ibarat, tikaman jiwa,  firasat
                 dan berbagai efek yang diberondongnya menyerang siapa yang mengalami  mimpi itu. Ia biasa gamblang,
                 jelas secara teliti dan persis melukiskan apa  yang akan terjadi, tetapi ia juga biasa kebalikan atau buram
                 sama sekali  sebagai sebuah ramalan yang memerlukan tafsir. Cerita adalah teror mental  kepada
                 manusia...”.

                 Dia memetik semula punat suis Komputer Meja selepas keluar dari alam sunyi.  Dia cukup memahami
                 nasihat dari Salman Rushdie, Danarto dan Putu Wijaya. Dia  mahu kembali memulakan peperangan
                 dalam hatinya untuk memecahkan kebuntuan.  Dia berjanji bahawa pengalaman, ilmu bantu dan omongan
                 dengan rakan-rakan  penulis boleh diadun menjadi senjata yang ampuh untuk membunuh kebuntuan.  Dia
                 percaya itu.

                 Sejak awal tahun 1998, dia mempersiapkan pelbagai bahan, planner harian,  mingguan dan bulanan
                 memasuki semula alam sunyi yang ditinggalkan sejak  sekian lama. Hari ini adalah hari ke 99 dalam tahun
                 1998. Telah memasuki  minggu ke 15. Di depan kehidupannya menanti 266 hari bagi
                 menggenapkan  bilangan hari dalam tahun 1998. Bahan cerita, barisan watak, latar, suasana,  sudut
                 pandangan, tema telah dipadatkan dalam tabung mindanya. Malangnya dia  masih gagal untuk
                 memulakannya. Menjadi suatu tragis bagi dirinya bagi  memulakan penulisannya. Dirasai beberapa roh
                 baik dan roh buruk mengelilingi  dirinya. Dia masih buntu mengukir sebuah kehidupan di atas kertas. Dia
                 masih  gagal mengetuk aksara dari huruf A hingga huruf  Z, dari angka 1 hingga 0.  Dia kekal dalam
                 kebuntuannya.. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu.  Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu

                 Dia kembali menghadapi PC-nya hari ini. Dia mahu memasuki semula alam sunyi  yang penuh misteri dan
                 penuh keajaiban ini. Hari ini adalah hari ke 103  dalam tahun 1998. Telah memasuki minggu ke 16. Ada
                 37 minggu lagi di depan.  Di depan kehidupannya menanti 262 hari lagi bagi menggenapkan bilangan
                 hari  dalam tahun 1998. Malangnya sebuah cerita masih belum disiapkan lagi. Apatah  lagi jumlah cerita
                 yang diterbitkan oleh akhbar atau majalah. Masih sipar.  Bahan cerita, barisan watak, latar, suasana,
                 sudut pandangan, tema telah  dipadatkan dalam tabung mindanya. Dia cuba memerangi kebuntuan. Dia
                 cuba  menjana alam sunyinya dengan sebaik mungkin. Walaupun gagal menemui  Khattam-Sud. Tidak
                 mengapa. Asal saja dapat menyiapkan banyak lagi cerita  dongengan dan cerita omongan untuk bacan
                 sendiri, isteri, anak-anak,  rakan-rakan dan masyarakat. Apakah mereka faham atau tidak, itu
                 tidak  penting. Fikirnya sambil mengeluh sedalamnya. Dia akan menulis cerita  dongengan dan cerita
                 omongan yang ditimba dari Lautan Kekacauan. Baik  kekacauan realiti, mahupun kekacauan imaginasi.
                 Dari lautan kekacauan itu  bermula segalanya. Nasib Nabi Adam dan Siti Hawa dicampak ke dunia
                 kerana  kesalahan memakan buah larangan, iaitu buah khuldi. Episod itu bermula dari  kekacauan yang
                 diwujudkan angkara iblis. Rahmatnya tetap unggul di mana kini  beratus ribu juta manusia telah mendiami
                 dunia ini. Dan setiap hari dunia  mengalami kekacauan.Apakah kekacauan itu dari Lautan Kekacauan
                 Khattam-Sud.  Atau apakah Lautan Kekacauan itu berada di dalam diri setiap manusia di  dunia ini.
                 Persoalan itu semakin membius akalnya yang mahu memulai penjanaan  alam sunyinya. Belumpun sempat
                 dia memasuki alam sunyinya, PC-nya tiba-tiba  mengeluarkan signal yang menandakan ada e-mail yang
                 akan masuk ke dalam  komputer. Dia begitu tekun membuka perisian E-Mail menggunakan
                 Internet  Explore versi ke 4 dan menyambungkan capaian talian dari angkasa terbuka ke  PC-nya di
                 URL: 202.188.0.133. Dia menatap monitor dengan sabar. E-mail dari  mana, agaknya, fikirnya tenang.
 

                   Sdra…beberapa persoalan yang saudara kemukakan itu, soal bagaimana untuk  memulai sesebuah
                   cerita, memang sulit sekali dijawab. Sekadar saya  memberi beberapa andaian, semoga andaian ini
                   dapat membantu saudara  menguasai alam sunyi yang penuh misteri di alam penulisan cerita…

                   Jika saya memasuki satu ruang, berdinding atau tidak, terjadilah  perubahan dalam diri, suatu
                   transformasi dan metamorfose yang berkaiatan  dengan ruang itu… Lalu di manakah waktu? Ketika
                   saya berlama-lama atau  bersingkat-singkat dengan jelmaan saya itulah, waktu berada… Yang
                   jadi  fikiran saya adalah bagaimana menulis segala sesuatu yang ada kaitannya  dengan jelmaan ruang
                   waktu itu. Dari sini saya sangat erat berhubungan  dengan kata, kalimat, menyusun baris-baris, jarak
                   secara fizikal  baris-baris kalimat yang satu dengan yang lainnya. Bahkan irama dan tempo  membaca
                   saya perhitungkan...

                   Kalau begitu, setiap saat saya akan sentiasa menjelma? Benar.

                   Dari sahabatmu, Danarto, Taman Ismail Marzuki, Jakarta.
 

                 Signal dari PC-nya terhenti. Dia membuka semula perisian memproses perkatan  dari jenama
                 Lotus-WordPro. Dia kembali mencapai fail: Awal.LWP… dan dokumen  itupun muncul di layar
                 monitornya.

                 Dia membaca kembali apa yang telah ditulisnya. Tidak ada cerita mengenai  kegawatan ekonomi. Tidak
                 ada cerita tentang manipulasi episod-episod  politik. Tidak ada cerita mengenai gejala sosial. Bahan dan
                 maklumat dari  dalam tabung mindanya gagal dijana ke arah menghasilkan cerita. Ini mungkin  kerana
                 kebuntuan yang dialaminya. Ini mungkin tiada motivasi dari  rakan-rakan penulisnya yang lain.
                 Rakan-rakannya juga bersendirian dan  bersunyian sepertinya. Dia merasa rimas. Dia merasa buntu.
                 Buntu. Buntu.  Buntu. Buntu. Buntu. Buntu. Buntu/ Buntu. Buntu. Suatu malam ketika dia menceritakan
                 kepada isterinya, isterinya dengan wajah  sinis membentak, “ Itukan mimpi abang saja… mimpi penulis
                 kecil yang ingin  jadi pujangga, dan menjadi idola, menjadi simbol semata. Berhentilah…  menulis fiksi –
                 baik omongan mahupun dongengan di Malaysia belum mampu  menyara keluarga. Berilah tumpuan pada
                 saya dan anak-anak yang perlukan  kasih sayang abang. Bukan asyik berkhayal depan komputer.
                 Sekejap menjelma  menjadi itu, menjadi ini…!”

                 Dia terkejut besar. Mungkinkah isterinya sudah mengucapkan dengan tepat  sekali, apa yang sulit
                 merumuskan untuk memulakan sebuah cerita.

                 Dia terlopong.

                                                           KE CERPEN ON-LINE