Make your own free website on Tripod.com
 
Sastera vs Politik?

oleh : Amir Muhammad

 
              Saya rasa sastera yang mantap/sihat/berkesan tak seharusnya menjauhkan
              diri dari isu-isu panas. Ini kerana isu-isu panas (termasuk tapi tak
              terhad kepada politik) adalah sebahagian drp kerencaman kehidupan
              masyarakat yang mesti dirakam atau ditafsir oleh sang sasterawan.

              Beberapa mahakarya dunia seperti GULLIVER'S TRAVELS (Swift), ANIMAL FARM
              (Orwell) dan MIDNIGHT'S CHILDREN (Rushdie) dilahirkan terus dari
              keinginan penulis untuk melontarkan komen tentang keadaan politik semasa
              mereka. Buku-buku sedemikian tidak mungkin lahir jika penulis berkenaan
              tak minat tentang politik. Ini tak termasuk beberapa pengarang dunia
              seperti Soyinka, Havel, Vargas Llosa dan Ngugi, yang berperanan bukan
              saja sebagai sasterawan tapi secara langsung sebagai aktivis/politikus.

              Memang ada penulis seperti Flaubert dan Nabokov yang berpendapat bahawa
              isu politik terlalu "remeh" untuk dijadikan bahan sastera. Mereka anggap
              bahawa sastera bukannya wadah untuk "melepaskan geram" atau
              "mempromosikan agenda" tertentu sebaliknya peluang untuk merakam dengan
              teliti butiran hidup, psikologi dan falsafah sejagat.

              Saya ambil jalan tengah. Kalau nak tulis tentang politik, silakan, tapi
              tulislah dengan betul-betul. Komen Rustam A Sani di seminar "Karyawan
              dan Isu Semasa" di DBP beberapa minggu lepas harus diberi perhatian.
              Kata beliau, sang seniman hendaklah merakam/menulis tentang zamannya
              dengan cara yang berseni, sesuai dengan peranannya, bukan sekadar
              menyebarkan "labun kedai kopi" yang boleh diutarakan oleh sesiapa pun.
              Kalau penggiat sastera sekadar nak sebarkan andaian longgar, bodek tak
              kenal malu, fitnah bodoh, dan dalam ertikata lain 'main cakap ajer', apa
              gunanya jadi penggiat sastera?
 
 

                   Tekan Untuk Kembali ke